
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan bahawa baginda tidak berkenan sebarang bentuk penternakan babi, sama ada berskala besar atau kecil, dijalankan di mana-mana daerah dalam negeri Selangor.
Advertisement
Titah baginda itu disampaikan melalui kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan, hari ini, berhubung isu hangat projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Kenyataan ini hadir susulan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Januari lalu yang mengesyorkan agar kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek tersebut. Menurut sumber, keputusan baginda bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap isu alam sekitar, tetapi juga sensitiviti sosial dan kesihatan rakyat.
Reaksi ini sememangnya mendapat perhatian ramai warganet yang memuji ketegasan Sultan Selangor dalam mempertahankan hak rakyat dan kelestarian negeri.
Sehingga kini, pihak berkuasa negeri dijangka akan mengkaji semula kelulusan projek tersebut selaras dengan titah baginda. Rakyat Selangor pula menantikan perkembangan lanjut mengenai nasib projek kontroversi ini yang kini menjadi topik hangat di media sosial.