
Pihak polis kini sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres lelaki bersama seorang wanita yang dipercayai kenalannya bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular yang mencetuskan kebimbangan ramai.
Video berdurasi lapan saat itu, yang dimuat naik di media sosial, memaparkan tindakan berbahaya apabila wanita berkenaan dilihat duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan sedang bergerak di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Kejadian dipercayai berlaku pada 12 April sekitar jam 7.30 malam di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan, sebelum rakaman tersebut tular keesokan harinya.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Lee Robert memaklumkan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko kemalangan serius. Tindakan seperti itu berpotensi menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu fokus pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru individu yang terlibat agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan turut diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Insp Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang melibatkan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
Sumber: BERNAMA
Video: myinsightofficial