Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Belum Sampai Sebulan, KUDRAT 1968: High Council Sudah Cecah Kutipan RM20 Juta!

Fenomena KUDRAT 1968: High Council terus membuktikan pengaruhnya apabila filem terbitan Astro Shaw itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM20 juta setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan francais High Council sebagai antara naskhah yang mendapat sambutan hangat penonton.

Sejak mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 29 Oktober lalu, filem berkenaan terus menjadi bualan ramai, didorong oleh jalan cerita yang penuh konflik, barisan pelakon berbakat serta sokongan luar biasa daripada peminat setia yang dikenali sebagai KUDRATICS.

Advertisement

Kejayaan meraih kutipan RM20 juta itu turut mencerminkan kekuatan francais High Council yang terus berkembang dan berjaya mengekalkan hubungan erat dengan kelompok peminatnya.

Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968: High Council, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna buat seluruh pasukan produksi.

Menurutnya, pihak Astro Shaw amat bersyukur dengan sambutan yang diterima, lebih-lebih lagi apabila dunia High Council terus berkembang dalam Astro Shaw Cinematic Universe dengan sokongan padu penonton.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada KUDRATICS yang sentiasa bersama mereka sejak awal, termasuk menerusi pelbagai aktiviti mendekati peminat seperti House of KUDRAT 2.0 serta siri jelajah bertemu peminat di kawasan Selatan dan Utara tanah air.

Malah, kehadiran ribuan peminat yang sanggup datang dari jauh untuk bertemu barisan pelakon memberikan suntikan semangat kepada pihak produksi untuk terus mendekati komuniti peminat tersebut.

Tidak terhenti setakat itu, Astro Shaw turut merancang untuk meneruskan siri jelajah ke Pantai Timur dan seterusnya ke Borneo, selain menyediakan pelbagai inisiatif menarik sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan KUDRATICS.

Filem arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi barisan pelakon popular termasuk Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.

Menerusi naskhah ini, penonton dibawa menyelami dunia High Council yang lebih besar dengan mengetengahkan konflik kuasa, persahabatan dan kesetiaan yang menjadi taruhan.

KUDRAT 1968: High Council diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, HM Entertainment dan Golden Screen Cinemas, manakala produksi dikendalikan oleh PASAL Productions.

Dengan kutipan yang kini mencecah RM20 juta, perjalanan KUDRAT 1968: High Council jelas masih belum berakhir, apatah lagi dengan pelbagai aktiviti susulan yang bakal menanti peminat di seluruh negara.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai filem ini, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Astro Shaw dan menggunakan tanda pagar #KUDRAT1968.

SINAR Muzik Retro Terbaik