Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Hujan Cipta Sejarah, Raih Pengiktirafan Malaysia Book of Records Menerusi Konsert 20 Tahun Yang Pecah Rekod!

Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tempatan dengan karya yang dekat di hati peminat, kumpulan indie rock legenda Malaysia, Hujan sekali lagi membuktikan pengaruh mereka apabila berjaya mencipta sejarah menerusi pengiktirafan “Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert” oleh Malaysia Book of Records.

Pengiktirafan berprestij itu diberikan sempena penganjuran Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun, yang berlangsung dengan sambutan luar biasa di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Advertisement

Dianggotai oleh Noh Salleh bersama AG, Am dan Izzat, Hujan berjaya menghimpunkan belasan ribu peminat setia mereka yang dikenali sebagai Raingers, sekali gus mencatat rekod sebagai konsert tunggal kumpulan indie dengan jumlah penonton terbesar di negara ini.

Pencapaian tersebut bukan sekadar angka, tetapi menjadi simbol kukuh bahawa muzik indie tempatan mempunyai pengaruh besar dan mampu menarik kehadiran penonton dalam skala yang lazimnya dikaitkan dengan artis arus perdana.

Konsert bersejarah itu dianjurkan oleh Icon Entertainment, dan menjadi kemuncak sambutan ulang tahun ke-20 perjalanan seni Hujan yang telah melahirkan pelbagai karya ikonik sepanjang penubuhan mereka.

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan disempurnakan oleh wakil-wakil Malaysia Book of Records bersama pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

Dalam masa sama, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh Raingers yang hadir dan menjadi sebahagian daripada detik penting dalam sejarah muzik tempatan.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Hujan XX: Hujan 20 Tahun menjadi lambang perjalanan seni yang dibina atas dedikasi, konsistensi dan hubungan erat antara kumpulan dan peminat selama 20 tahun. Pengiktirafan ini juga dilihat sebagai satu pencapaian besar buat industri muzik Malaysia yang membuktikan bahawa kumpulan indie tempatan mempunyai kekuatan untuk mencipta fenomena dan meninggalkan legasi yang besar.

SINAR Muzik Retro Terbaik