Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Demi Minat Anak, Jamilul Hayat Tangguh Rawatan Walau Derita Penyakit Paru-Paru Tahap 4

Foto: Facebook

Penyanyi era 1980-an, Jamilul Hayat mengesahkan bahawa beliau kini sedang berdepan masalah kesihatan serius apabila didiagnosis menghidap penyakit paru-paru tahap empat dan memerlukan rawatan di hospital.

Advertisement

Walau bagaimanapun, Jamilul yang turut mengurus kerjaya anaknya, Hussain, mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara rawatan bagi memberi fokus kepada penyertaan anaknya dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2).

Menurut beliau, keadaan kesihatannya kini berada pada tahap yang membimbangkan, namun dia tetap memilih untuk meneruskan tanggungjawab sebagai bapa demi memastikan perjalanan anaknya dalam pertandingan tidak terganggu.

“Saya memang ada masalah paru-paru tahap empat dan keadaan saya boleh dikatakan serius. Tapi saya kuatkan diri demi anak,” katanya ketika ditemui di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Beliau menambah bahawa selepas urusan program tersebut selesai, beliau akan kembali menyusun semula rawatan di hospital yang telah dirancang.

“Saya tak mahu masuk wad sekarang. Saya nak selesaikan dulu pertandingan ini,” ujarnya

Dalam masa sama, Jamilul tidak menafikan bahawa kesihatan adalah keutamaan, namun pengorbanan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab sebagai seorang ayah.

“Nyawa memang paling penting, tapi sebagai bapa, saya sanggup berkorban untuk anak saya,” katanya.

Selain itu, beliau turut merancang untuk membantu Hussain menerbitkan single selepas tamat program sebagai langkah awal anaknya dalam dunia seni.

“Perancangan ke arah itu memang ada. Dia memang berminat untuk jadi penyanyi,” jelasnya.

Sementara itu, Hussain memaklumkan bahawa beliau terlebih dahulu menamatkan pengajian diploma sebelum mendapat keizinan bapanya untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Saya habiskan diploma dulu, kemudian baru ayah benarkan saya sertai TTMM musim kedua,” katanya.

Untuk rekod, Hussain sebelum ini pernah mencuba nasib dalam beberapa pertandingan nyanyian seperti Suke TV dan One In A Million sebagai langkah awal dalam kerjaya seni.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik