
Foto: Instagram
Pelakon senior, Rosyam Nor menegaskan label ‘artis sombong’ yang sering diberikan kepada selebriti tidak semestinya tepat, sebaliknya boleh berlaku akibat salah tafsir terhadap situasi tertentu.
Advertisement
Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin menjelaskan bahawa adalah tidak adil untuk menilai seseorang artis hanya berdasarkan satu pertemuan kerana mereka juga melalui pelbagai keadaan emosi seperti orang lain.
“Kita tak boleh ‘judge’ artis sombong bila jumpa sekali. Mungkin masa itu dia penat, takkan nak tersenyum sepanjang masa atau mungkin karakter dia sebegitu tapi tak bermakna dia sombong,” katanya.
Pelakon berusia 59 tahun itu bagaimanapun menjelaskan, ekspresi wajah yang kelihatan serius atau kurang mesra kadangkala disalah anggap sebagai sikap dingin.
“Macam saya nampak garang. Ada masa saya berjalan dengan muka berkerut. Jadi takkan nak cakap saya sombong. Kita kena faham keadaan… mungkin dia ada masalah atau perkara lain yang sedang difikirkan,” ujarnya.
Tambahnya, interaksi dua hala juga penting dan peminat tidak seharusnya mengharapkan artis sentiasa memulakan sapaan.
“Kalau awak tegur dulu, dia okey sahaja. Tidaklah nak tunggu artis itu tersengih pada semua orang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Rosyam mengakui beliau sentiasa menghargai peminat kerana mereka memainkan peranan besar dalam menyokong kerjayanya sejak dahulu.
“Kalau orang datang nak bergambar, saya santuni. Siapa artis tanpa peminat? Mereka yang kongsi gambar itu sebenarnya membantu mempromosikan kita,” jelasnya.
Menyentuh soal pemilihan karya pula, Rosyam berkata beliau kini lebih mengutamakan kepuasan dalam lakonan berbanding ganjaran kewangan, selagi naskhah yang ditawarkan mempunyai jalan cerita yang kuat.
Sumber: HibGlam