
Bermula dengan tapak kosong, sebuah rumah baharu berjaya disiapkan dalam tempoh hanya tiga hari menerusi inisiatif Gen SINAR Bina Rumah, sekali gus membawa harapan baharu kepada sebuah keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Kuala Pangsun, Hulu Langat.
Inisiatif anjuran SINAR dengan kerjasama EPIC Homes itu menyaksikan penyampai Gen SINAR Pagi, Hefny Sahad, Roy Azman dan Kak Sheera, turun padang bersama lebih 30 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang serta komuniti setempat bagi menjayakan misi berkenaan.
Advertisement
Menariknya, ketiga-tiga penyampai itu terlebih dahulu menjalani latihan asas pembinaan sebelum berganding bahu dengan sukarelawan lain dalam proses mendirikan rumah berkenaan.
Rumah baharu itu diperuntukkan kepada seorang bapa tunggal yang membesarkan tiga anak berusia enam, 16 dan 18 tahun. Sebelum ini, lelaki yang pernah bekerja sebagai renjer itu terpaksa tinggal bersama keluarga mentuanya di sebuah rumah lama yang dihuni tujuh orang.
Menerusi pendekatan EPIC Homes, pembinaan rumah bukan sekadar bergantung pada tenaga sukarelawan, malah turut melibatkan pemilik rumah dan komuniti Orang Asli yang bersama-sama menyumbang tenaga sepanjang proses pembinaan.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat, tetapi juga membina keyakinan serta membuka ruang kepada keluarga berkenaan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
Pengurus Jenama SINAR, Zureen Afendi, berkata inisiatif itu membuktikan bahawa platform radio mampu memainkan peranan lebih besar dalam menghubungkan masyarakat serta menggerakkan usaha kebajikan secara bersama.

“Di SINAR, kami percaya sesebuah rumah bukan hanya terdiri daripada dinding dan bumbung. Sebuah rumah adalah tempat lahirnya harapan, tempat anak-anak membesar dengan lebih selesa dan tempat sebuah keluarga membina masa depan yang lebih baik.
“Sebab itu, apabila kami diberi peluang untuk menyertai misi ini, kami melihatnya sebagai tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar aktiviti kemasyarakatan.
“Apa yang paling menginspirasikan kami adalah semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh semua pihak. Sukarelawan, komuniti Orang Asli dan pasukan Gen SINAR Pagi bekerja sebagai satu keluarga dengan satu matlamat yang sama iaitu membantu mereka yang memerlukan.
“Dalam masa tiga hari, kami bukan sahaja berjaya membina sebuah rumah, tetapi turut membina hubungan, kepercayaan dan harapan baharu,” katanya.
Tambah beliau, SINAR berharap kisah berkenaan dapat menyedarkan masyarakat bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam mencetuskan perubahan, walaupun hanya melalui sumbangan masa, tenaga dan kepakaran.
Menurut Zureen, penglibatan Gen SINAR Pagi menerusi Gen SINAR Bina Rumah turut mencerminkan komitmen berterusan SINAR untuk memperkasa komuniti serta merapatkan jurang antara masyarakat bandar dengan luar bandar.
Sejak ditubuhkan pada 2010, EPIC Homes telah menggerakkan ribuan sukarelawan bagi membantu menyediakan kediaman yang lebih selamat kepada komuniti Orang Asli di seluruh negara.
Kerjasama itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia tampil menyumbang dan bersama-sama membantu komuniti yang memerlukan.
Kejayaan menyiapkan rumah dalam tempoh tiga hari itu membuktikan bahawa semangat kerjasama dan keprihatinan mampu membawa perubahan bermakna kepada kehidupan orang lain.
Bagi keluarga berkenaan, rumah baharu itu bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya permulaan kepada kehidupan yang lebih selesa dan masa depan yang lebih cerah.
SINAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang mengetengahkan lagu-lagu popular era 1990-an, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik dengan hampir empat juta pengikut di media sosial.
Pendengar boleh mengikuti SINAR menerusi frekuensi radio, platform media sosial rasmi serta aplikasi SINAR yang boleh dimuat turun melalui App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.