Skip to main content

Advertisement

Berita

Pelajar Lelaki Tingkatan Empat Bakal Didakwa Bunuh Irene Sofiya, 16, Di Mahkamah Khamis Ini

Pelajar lelaki Tingkatan Empat berusia 16 tahun bakal didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan parah di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.

Menurut maklumat dalam sistem e-Kehakiman, tertuduh dijadualkan dihadapkan ke mahkamah pada jam 9 pagi di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Advertisement

Pelajar berkenaan dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh.

Difahamkan, arahan pertuduhan dikeluarkan selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah pada badan yang dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras.

Mangsa, yang merupakan anak tunggal, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas tamat kelas tambahan pada hari kejadian.

Kejadian itu mula disedari apabila seorang rakannya menemukan motosikal yang ditunggangi Irene Sofiya berada di dalam kawasan sekolah.

Rakannya kemudian pergi ke rumah datuk dan nenek mangsa di Kampung Parit Selamat sebelum neneknya, Jameyah Rabani, 65, bersama ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, serta rakan mangsa bergegas ke sekolah untuk mencarinya.

Mereka kemudian menemukan Irene Sofiya dalam keadaan parah di dewan sekolah berkenaan.

Susulan penemuan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan.

Suspek telah direman sejak 4 Oktober lalu, dengan tempoh remannya dijadualkan berakhir pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, mendedahkan bahawa kecederaan trauma akibat objek tumpul pada bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian Irene Sofiya.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai susulan kejadian tragis yang meragut nyawa remaja berusia 16 tahun itu di kawasan sekolahnya sendiri.

Tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah bagi membolehkan pertuduhan dibacakan mengikut proses undang-undang yang ditetapkan.

Sumber: Sinar Harian

SINAR Muzik Retro Terbaik