
Setiap pekerjaan mempunyai kisah, cabaran dan pengorbanan tersendiri. Menyedari kepelbagaian kerjaya yang wujud dalam masyarakat, SINAR menerusi program GenSINAR Pagi tampil dengan segmen khas ‘30 Nama, Inspirasi di Sebalik Cerita’ bagi mengetengahkan kisah individu daripada bidang pekerjaan unik dan jarang diketahui umum.
Bermula 12 Oktober 2026, segmen yang berlangsung selama 30 hari itu menampilkan 31 individu daripada 30 latar belakang kerjaya berbeza, sekali gus membuka ruang kepada pendengar untuk mengenali lebih dekat dunia pekerjaan yang mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.
Menerusi temu bual bersama trio penyampai GenSINAR Pagi, Roy Azman, Sharifah Shahirah dan Hefny Sahad, para tetamu berkongsi pengalaman sebenar dalam bidang masing-masing, termasuk cabaran, kejayaan, pengorbanan serta realiti yang perlu dihadapi sepanjang perjalanan kerjaya.
Antara kerjaya yang mencuri perhatian dan menerima interaksi tinggi di platform digital SINAR ialah Pegawai Kawalan Trafik Udara, Pakar Pembersihan Forensik dan Pengurusan Jenazah serta Pelakon Suara Latar.
Perkongsian tersebut bukan sahaja memberikan perspektif baharu terhadap profesion yang kurang mendapat perhatian, malah memperlihatkan kepentingan setiap pekerjaan dalam menyumbang kepada kehidupan dan kesejahteraan masyarakat.
Pengurus Jenama SINAR, Zureen Afendi, berkata inisiatif itu bertujuan memperluaskan pengetahuan masyarakat mengenai pelbagai pilihan kerjaya, termasuk bidang yang jarang diketengahkan tetapi mempunyai peranan penting.
“Di SINAR, kami percaya setiap pekerjaan mempunyai kisah tersendiri yang wajar diketengahkan dan dihargai. Menerusi ‘30 Nama, Inspirasi di Sebalik Cerita’, kami mahu membuka perspektif masyarakat terhadap kepelbagaian kerjaya yang wujud serta memberi penghormatan kepada individu-individu yang mencurahkan khidmat dan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing.
“Kami juga berharap perkongsian ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, khususnya bakal lepasan SPM, untuk melihat peluang kerjaya dari sudut yang lebih luas. Tidak semua kejayaan bermula daripada laluan yang konvensional. Kadangkala, minat, bakat dan kemahiran yang dimiliki mampu membawa seseorang kepada kerjaya yang unik, bermakna dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.
Menerusi segmen ini, SINAR terus memanfaatkan kekuatan radio dan platform digital sebagai medium yang bukan sekadar menghiburkan, malah berperanan mendidik, membuka minda serta menyampaikan inspirasi kepada masyarakat.
Inisiatif tersebut turut menjadi ruang penghargaan kepada individu daripada pelbagai bidang pekerjaan yang sering menjadi tulang belakang kepada kelancaran kehidupan seharian, meskipun sumbangan mereka jarang mendapat perhatian umum.
Dengan pendekatan kandungan yang relevan dan dekat dengan pendengar, SINAR komited untuk terus menghasilkan inisiatif berimpak positif yang mampu mencetuskan inspirasi, memperluaskan perspektif serta mengukuhkan hubungan bersama komuniti pendengar di seluruh negara.
SINAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang memfokuskan lagu-lagu popular era 90-an, SINAR terus menjadi pilihan pendengar dan mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial.
Orang ramai boleh mengikuti SINAR menerusi frekuensi radio, platform media sosial rasmi serta aplikasi SINAR yang boleh dimuat turun melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
SINAR – Muzik Retro Terbaik.