
Foto: Facebook
Penceramah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta selepas disahkan mengalami masalah saluran jantung sempit.
Advertisement
Perkembangan itu dimaklumkan oleh abangnya, Mohd Najmuddin Elias, menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu. Menurut beliau, Ustaz Kazim perlu menjalani prosedur memasukkan belon bagi membantu melancarkan aliran darah di bahagian saluran yang terjejas.
“Ya betul, sekarang di ICU selepas dimasukkan belon bagi melancarkan dan meluaskan saluran jantung yang sempit,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas prosedur pertama dilakukan, doktor mendapati terdapat satu lagi saluran yang bermasalah dan memerlukan rawatan susulan.
“Selepas satu belon dimasukkan, doktor mendapati terdapat satu lagi saluran sempit yang memerlukan tambahan satu belon lagi,” jelasnya.
Sebelum dimasukkan ke hospital, Ustaz Kazim dilaporkan mengalami kesakitan yang agak teruk. Buat masa ini, pihak hospital hanya membenarkan isterinya untuk melawat, manakala kunjungan lain tidak dibenarkan.
Dalam pada itu, Mohd Najmuddin turut memohon orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan adiknya supaya dapat kembali menyampaikan dakwah serta menguruskan Pusat Pendidikan Al Barakah.
“Saya merayu kepada semua peminat dan pencinta ilmu supaya solat hajat dan berdoa agar beliau kembali sembuh,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, keadaan Ustaz Kazim dilaporkan semakin stabil selepas menjalani rawatan serta pemantauan rapi oleh pasukan pakar perubatan, dengan tahap kesihatan yang menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelum ini.
Sumber: Al-Hijrah