Foto janaan AI
Isu tekanan di tempat kerja terus menjadi perhatian apabila semakin ramai pekerja di Malaysia mengakui berdepan keletihan melampau dalam rutin harian mereka.
Advertisement
Kajian Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja oleh Jobstreet by SEEK mendedahkan sekitar 41% pekerja mengalami burnout, walaupun majoriti masih menyatakan mereka berasa gembira dengan pekerjaan masing-masing.
Kajian Libatkan Pelbagai Peringkat Umur
Dapatan ini diperoleh daripada kira-kira 1,000 responden berusia antara 18 hingga 64 tahun yang sedang bekerja di negara ini, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh mengenai realiti semasa dunia pekerjaan.
Menurut Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK, Nicholas Lam, tahap kepuasan terhadap tekanan kerja masih rendah dalam kalangan pekerja.
“Dalam kalangan pekerja yang tidak gembira, 71% menyatakan keseimbangan kerja (work life balance) dan kehidupan lebih baik boleh meningkatkan kebahagiaan mereka selepas faktor gaji sekaligus menunjukkan keletihan yang tidak diurus boleh menjejaskan produktiviti jangka panjang,” katanya.
Dapatan tersebut turut menunjukkan perubahan keutamaan dalam kalangan pekerja apabila keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi kini menjadi faktor penting, mengatasi kepentingan gaji semata-mata.
Malah, walaupun kadar pekerjaan stabil dan pengangguran rendah, masih terdapat sebahagian pekerja yang berasa tidak puas hati atau neutral terhadap pekerjaan mereka.
Foto janaan AI
Gen Z Berdepan Tekanan Lebih Tinggi
Perbandingan antara generasi mendapati golongan Gen Z mencatat tahap tekanan paling tinggi berbanding generasi lain. Antara faktor dikenal pasti termasuk cabaran di peringkat awal kerjaya, usaha membina kemahiran serta keperluan membuktikan kebolehan diri.
“Mereka juga lebih bersetuju bahawa pengurangan tekanan boleh meningkatkan kebahagiaan iaitu 40% berbanding 35% dalam kalangan milenial dan 27% bagi Gen X,” jelasnya.
Perbezaan juga dapat dilihat mengikut sektor pekerjaan, dengan industri Perkhidmatan Profesional dan Pembinaan mencatat tahap kebahagiaan tertinggi, diikuti sektor awam dan industri lain, manakala sektor runcit, hospitaliti dan sukan menunjukkan tahap lebih rendah.
Faktor Persekitaran Kerja Pengaruhi Emosi Pekerja
Selain tekanan kerja, faktor asas seperti lokasi tempat kerja, hubungan dengan rakan sekerja dan jenis tugasan harian turut memainkan peranan besar dalam menentukan tahap kepuasan pekerja.
Menurut Nicholas, rutin kerja yang teratur serta hubungan kerja yang baik mampu membantu pekerja berasa lebih terkawal dan bermotivasi.
Dapatan ini memberi isyarat kepada majikan untuk menilai semula pendekatan sedia ada dengan memberi penekanan kepada fleksibiliti, pengurusan beban kerja serta mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk membina budaya kerja positif, mengaitkan tugasan dengan tujuan organisasi serta memahami keperluan berbeza setiap generasi pekerja.
Foto janaan AI
Langkah Kurangkan Burnout
Bagi individu yang berdepan tekanan, beberapa langkah boleh diambil bagi mengurangkannya, termasuk mendapatkan rehat secukupnya, menjauhi persekitaran toksik, berani menyuarakan pandangan serta menetapkan sempadan jelas antara kerja dan kehidupan peribadi.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kebahagiaan di tempat kerja bukan lagi bergantung kepada ganjaran semata-mata, sebaliknya melibatkan keseimbangan hidup dan kesejahteraan mental pekerja secara keseluruhan.
Sumber: Workplace Happiness Index