Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

Industri Hiburan Dilabel Negatif? Amelina Percaya Yang Penting Bergantung Niat - “Tiada Pula Sampai Pergi Kerja Berbikini atau Berkemban..”

Foto: Instagram

Penyanyi, Amelina meluahkan perasaan sedih apabila kerjaya dalam industri hiburan sering dipandang negatif oleh segelintir pihak, susulan kenyataan yang tular melibatkan pempengaruh, Tareq Fit.

Advertisement

Menurutnya, meskipun ada pandangan yang boleh diterima, niat utamanya menceburi bidang seni tidak lain adalah untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan.

“Bukan kita nak betulkan benda yang salah. Fasal aurat semua itu, memang kita tahu.

“Yang penting niat atau nawaitu kita. Contohnya, kalau dapat rezeki ini, kita nak buat untuk apa. Saya secara peribadi, tiadalah sampai terkeluar landasan niat saya.

“Orang pergi pejabat, mereka pakai baju yang sesuai. Untuk saya sebagai penyanyi, kenalah pakai baju yang sesuai untuk menyanyi. Tiada pula sampai pergi kerja berbikini atau berkemban,” katanya.

Pelantun lagu Asyik itu turut menegaskan bahawa bakat seseorang adalah kurniaan Tuhan dan tidak seharusnya dipersoalkan apatah lagi dijadikan bahan kecaman.

“Bila kita mempertikaikan bakat atau rezeki orang, maknanya engkau mempertikaikan kelebihan Allah SWT, semua yang datang daripada Dia (Allah).

“Macam saya, 15 tahun menghilang kemudian dilorongkan semula dalam industri, menyanyi lagu-lagu lama yang popular. Rezeki ini yang membolehkan saya membesarkan anak-anak dan bekerja demi mereka.

“Individu terbabit boleh menilai, tak salah tapi rezeki ini datang daripada Allah. Kalau kau pertikai, maknanya kau persoal kerja Tuhan,” katanya dalam nada sebak.

Dalam masa sama, Amelina mengakui beliau masih menghormati Tareq sebagai individu yang berkongsi ilmu berkaitan kesihatan, namun berpendapat kenyataannya mengenai dunia seni agak keterlaluan.

“Tareq ini saya suka tengok dia sebagai bagi tip tentang diet tapi lama-kelamaan makin melebih-lebih.

“Bukan Tareq seorang yang pandang seorang tentang kerja anak seni, ramai lagi sebenarnya. Kita golongan artis macam satu ‘kampung’ walau dia tak tuju pada saya.

“Halal haram apa semua, memang dari luaran tapi kita tak tahu (dalaman) seseorang,” ujarnya lagi.

Terdahulu, isu melibatkan Tareq menjadi semakin hangat apabila beliau meluahkan rasa terkilan selepas penyampai radio, Azad Jasmin didakwa mengaitkan ibunya dengan pekerjaan sebagai GRO.

Kontroversi itu difahamkan bermula apabila Tareq memberikan pandangan kepada Azad tentang industri hiburan yang menurutnya boleh memberi kesan terhadap akhlak seseorang.

SINAR Muzik Retro Terbaik