Foto: Instagram
Personaliti televisyen popular, Elly Mazlein mendedahkan pemakaiannya yang konsisten dengan stoking putih bukan sekadar elemen gaya, sebaliknya dilakukan bagi memastikan batas aurat sentiasa terjaga serta mengelakkan sebarang tanggapan yang boleh menimbulkan fitnah.
Advertisement
Perkara tersebut dikongsikan Elly ketika berbual bersama Pengetua Maahad Ar-Raudhah (MARDHAH), Ustaz Mohd. Azli Abdullah menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok.
Dalam perbualan itu, Elly turut berkongsi cabaran yang dihadapinya sebagai pempengaruh yang aktif menghasilkan pelbagai kandungan di media sosial, termasuk aktiviti santai seperti berlari yang kadangkala menyebabkan pergerakan tubuh lebih ketara.
Menurut Elly, pemilihan stoking berwarna putih merupakan langkah paling mudah bagi mengelakkan salah faham orang ramai, terutama apabila pergerakan dalam video boleh menampakkan bahagian betis walaupun aurat sebenarnya sudah ditutup.
“Kita nak mengelakkan fitnah. Saya sejenis manusia yang lain daripada yang lain. Kalau saya buat konten dan berlari santai, sampai boleh nampak betis. Jika saya pakai stoking warna kulit, ia akan menimbulkan fitnah, dan penat saya hendak menjelaskan bahawa saya sebenarnya memakai stoking.
“Jadi, bila saya pilih stoking putih, orang sudah tidak bertanya apa-apa lagi kerana semuanya sudah jelas,” katanya.
@ustazazli Ingat stoking bola tadi, rupanya stoking penyelamat fitnah! 😆 Jom ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang. ❤️ @Kakak Lina Pom Poms #TikTokDakwah #KakLina #MaahadArRaudhah #StokingPutih #Aurat ♬ original sound - UST AZLI
Dalam masa sama, video tersebut turut memaparkan detik menyentuh hati apabila Elly berkongsi bentuk sokongan yang diterimanya daripada suami sejak mula berhijab.
Menurutnya, walaupun tanpa banyak kata-kata, tindakan kecil yang dilakukan suaminya memberi kekuatan dan dorongan yang besar buat dirinya.
“Ustaz, tanpa kata-kata, kita mendapat kucupan yang hangat di dahi. Tidak cakap banyak, tahu-tahu dah kena cium di dahi. Beliau (suami) bagi sokongan yang sangat manis,” ujarnya.
Sementara itu, Ustaz Mohd. Azli mengajak orang ramai mengambil iktibar daripada kesungguhan Elly dalam menjaga aurat, sambil menegaskan bahawa ketenangan hati juga hadir apabila seseorang itu menjaga batas yang telah ditetapkan.
“Jom kita ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang,” katanya.
Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya menyokong usaha Elly serta mendoakan agar perjalanan penghijrahannya terus dipermudahkan.
Terdahulu, penampilan Elly yang tampil berhijab ketika mengacarakan pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada Oktober tahun lalu turut menjadi perhatian ramai.
Sumber: TikTok @ustazazli