Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

Anak Lambat Bercakap? Jangan Abaikan, Ini Petanda Autisme Yang Perlu Anda Tahu!

Gambar Hiasan

Kesedaran tentang Autism Spectrum Disorder (ASD) semakin meningkat, namun masih ramai ibu bapa dan penjaga terlepas pandang tanda-tanda awal yang boleh dikesan sejak usia kecil. Hakikatnya, kepekaan terhadap perkembangan anak bukan sekadar penting tetapi ia boleh menjadi penentu masa depan mereka.

Advertisement

ASD merupakan gangguan perkembangan yang mempengaruhi cara kanak-kanak berkomunikasi, berinteraksi sosial serta memahami persekitaran. Setiap kanak-kanak adalah unik dan begitu juga dengan spektrum autism yang simptomnya boleh berbeza antara seorang dengan yang lain.

Apa yang sering berlaku, ibu bapa menganggap kelewatan seperti lambat bercakap, kurang memberi respons apabila dipanggil, atau tidak berminat bermain dengan rakan sebaya sebagai sesuatu yang ‘normal’ dan akan berubah dengan sendirinya. Namun, sikap tunggu dan lihat ini boleh menyebabkan peluang intervensi awal terlepas begitu sahaja.

Gambar: X (@KKMPutrajaya)

Ibu bapa dan penjaga perlu lebih sensitif terhadap perubahan tingkah laku dan perkembangan anak. Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian termasuk kurang kontak mata, tidak menunjuk atau berkongsi minat, lewat bertutur atau tingkah laku berulang seperti mengibas tangan atau terlalu fokus pada objek tertentu.

Penting untuk difahami bahawa setakat ini, tiada ujian perubatan khusus seperti ujian darah atau imbasan yang boleh mengesahkan autisme. Diagnosis hanya boleh dibuat melalui penilaian klinikal oleh pakar, berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku, komunikasi dan tahap perkembangan kanak-kanak.

Justeru, jika terdapat sebarang keraguan, ibu bapa disarankan untuk segera mendapatkan penilaian daripada doktor atau pakar perkembangan kanak-kanak. Langkah ini bukan bermaksud membuat kesimpulan, tetapi membuka ruang untuk pemantauan dan intervensi awal jika diperlukan. Lebih awal sokongan diberikan, lebih besar peluang untuk anak mencapai potensi terbaik mereka.

Sumber: X (@KKMPutrajaya)

SINAR Muzik Retro Terbaik