
Foto: Facebook
Bilangan individu yang berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya bagi kategori autisme kini meningkat kepada kira kira 89,000 pada tahun ini, sekali gus menunjukkan pertambahan yang signifikan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Advertisement
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, yang memaklumkan bahawa angka tersebut hampir empat kali ganda berbanding sekitar 23,000 pendaftaran yang direkodkan pada tahun 2021.
Menurut beliau, peningkatan itu mencerminkan tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa yang kini lebih prihatin terhadap kepentingan mengenal pasti tanda awal autisme.
Selain itu, orang ramai juga semakin terbuka untuk mendapatkan penilaian serta diagnosis berkaitan keadaan tersebut.
“Perkara paling penting untuk masyarakat faham adalah autisme bukanlah satu penyakit. Ia merupakan satu spektrum perkembangan neurologi.
“Apabila kita faham perkara ini, barulah kita dapat membuang stigma. Hakikatnya, golongan ini mempunyai bakat neurodiversiti yang unik dan mampu cemerlang dalam pelbagai bidang seperti sains, seni, dan teknologi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Kertas Putih Kesihatan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh yang menumpukan kepada intervensi awal, rawatan susulan yang konsisten serta sokongan berterusan bagi membantu golongan berkenaan membina kehidupan termasuk dari aspek kerjaya.
Usaha itu turut digerakkan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan memperkukuh fungsi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, bagi memastikan setiap individu yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Sumber: Berita Harian