Skip to main content

Advertisement

Berita

Gara Gara Mahu Bergambar, Dua Pesawat Pejuang Korea Selatan Bertembung

Foto: AFP

Hanya kerana mahu merakam kenangan terakhir sebelum pertukaran tugas, seorang juruterbang pesawat pejuang di Korea Selatan berdepan insiden tidak dijangka apabila pesawat yang dipandunya bertembung di udara.

Advertisement

Menurut laporan rasmi, juruterbang berkenaan diarahkan membayar pampasan sebanyak 88 juta won, bersamaan kira kira RM235,629 susulan kejadian yang berlaku pada tahun 2021.

Difahamkan, dia ingin merakam video penerbangan terakhirnya lalu meminta bantuan juruterbang pesawat lain serta seorang rakan untuk mengambil gambar dan rakaman ketika berada di udara.

Laporan oleh Lembaga Audit dan Pemeriksaan Korea Selatan menyatakan pesawat itu sedang dipandu pada kelajuan sekitar 578 kilometer sejam ketika manuver tersebut dilakukan.

Dalam usaha mendapatkan rakaman terbaik, dia bertindak menerbangkan pesawat secara terbalik dan menghampiri pesawat lain.

Namun tindakan itu membawa kepada kesilapan apabila bahagian penstabil mendatar di ekor pesawatnya bergesel dengan sayap pesawat berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan, namun kerosakan yang berlaku dianggarkan mencecah 878 juta won.

“Manuver juruterbang itu, yang tidak diselaraskan dengan anggota formasinya, menyebabkan pesawat tersebut terbalik sehingga 137 darjah supaya bahagian atas pesawat dapat dirakam dalam video,” menurut laporan tersebut.

Pada peringkat awal, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengarahkan juruterbang itu menanggung keseluruhan kos kerosakan. Namun selepas rayuan dibuat, jumlah tersebut dikurangkan kepada hanya 10 peratus daripada kos pembaikan.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor, termasuk amalan merakam ketika penerbangan yang pernah dilakukan sebelum ini, selain juruterbang tersebut masih berjaya mengawal pesawat dengan selamat dan kembali ke pangkalan tanpa menyebabkan kerosakan tambahan.

“Sejak ditauliahkan pada 2010, individu berkenaan telah berkhidmat dalam tempoh yang lama sebagai juruterbang pesawat pejuang dengan mengendalikan pesawat secara selamat,” jelas laporan yang sama.

Walaupun jenis pesawat tidak dinyatakan secara rasmi, agensi berita Yonhap melaporkan bahawa insiden itu melibatkan pesawat F-15K.

Sumber: Astro AWANI

SINAR Muzik Retro Terbaik