
Foto: Facebook
Kerajaan dijangka tampil dengan pendekatan baharu bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan individu yang masih belum mendapat tempat dalam pasaran kerja, terutama graduan serta lepasan diploma.
Advertisement
Pengumuman berkaitan perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat, sebagai usaha memperluas peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.
Kerajaan akan buka lebih banyak ruang pekerjaan walau negara saat ini berdepan tekanan ekonomi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan peka terhadap keperluan mendesak untuk membuka lebih banyak ruang pekerjaan, khususnya kepada mereka yang masih belum berjaya mendapatkan kerja.
Menurut beliau, cabaran ini menjadi lebih ketara susulan tekanan ekonomi global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
“Saya akan perkenalkan beberapa inisiatif tambahan bagi membantu golongan yang masih tercicir daripada pasaran kerja, termasuk graduan menganggur dan pemegang diploma.
“Perkara ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya ketika berucap dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Meja Bulat bersama institusi kewangan.

Foto: Berita RTM
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan kadar pengangguran negara kekal pada paras 2.9 peratus, sekali gus mencerminkan pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh 10 tahun.
Tambahnya, walaupun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik berpanjangan di Asia Barat, kerajaan tetap komited merangka langkah proaktif bagi memastikan kestabilan serta pertumbuhan ekonomi terus terpelihara.
Langkah yang diperkenal dijangkan memberi manfaat kepada graduan dan lepasan diploma agar mereka tidak terus ketinggalan
Beliau turut menjelaskan bahawa prestasi makroekonomi negara menunjukkan perkembangan positif, dengan Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara empat hingga lima peratus bagi suku pertama tahun ini.

Foto: Facebook
“Ini satu keadaan yang agak luar biasa dan wajar dibanggakan jika dibandingkan dengan negara lain,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui terdapat beberapa sektor yang terkesan, namun dalam masa sama sektor baharu semakin berkembang dan menunjukkan potensi besar.
Antara sektor yang mencatat perkembangan ialah semikonduktor, elektrik dan elektronik, pusat data serta teknologi kecerdasan buatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaburan baharu dalam sektor elektrik dan elektronik telah diumumkan kepada pihak pengurusan bank dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Langkah yang bakal diperkenalkan ini dijangka memberi manfaat kepada graduan dan lepasan diploma agar mereka tidak terus ketinggalan, sekali gus membolehkan kemahiran yang dimiliki dimanfaatkan sepenuhnya dalam dunia pekerjaan.
Sumber: Sinar Harian