
Seorang banduan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu akhirnya berjaya ditangkap semula dalam satu operasi polis di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, suspek berusia 24 tahun itu diberkas kira-kira jam 5 petang selepas usaha memburu dan menjejakinya dipergiatkan sejak insiden pelarian tersebut dilaporkan.
Advertisement
“Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan tersebut berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan Muhammad Hassan yang melarikan diri ketika berada dalam tahanan reman. Kes tersebut mencetuskan kebimbangan awam berikutan latar belakang suspek yang berdepan beberapa pertuduhan serius.
Antara pertuduhan yang dihadapi termasuk kesalahan seksual di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, rompakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan imigresen mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pihak polis turut menegaskan komitmen berterusan mereka dalam memastikan sebarang ancaman terhadap keselamatan awam dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.