
Foto: Facebook
Fenomena lapisan ais yang muncul di kawasan Substesen Panalaban, Taman Kinabalu baru-baru ini menjadi perhatian ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial dan dikongsikan oleh para pendaki.
Advertisement
Walaupun Malaysia dikenali sebagai negara beriklim tropika tanpa musim sejuk, kejadian tersebut berlaku di kawasan ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut, menunjukkan bahawa suhu ekstrem boleh berlaku di puncak Gunung Kinabalu.
Beberapa video yang tersebar memaparkan pembentukan ais yang kelihatan seperti merebak di permukaan tanah dan tumbuhan sekitar kawasan Panalaban, sekali gus menimbulkan rasa kagum dalam kalangan orang ramai.
Kejadian itu turut dipercayai dirakam oleh Pasukan Mountain and Cave Search and Rescue (MOCSAR) ketika menjalankan tugasan di kawasan berkenaan sekitar jam 9.20 pagi pada hari Khamis.
Menurut perkongsian Sabah Perks, fenomena tersebut terjadi akibat keadaan udara yang kering serta tahap kelembapan yang rendah di kawasan pergunungan tersebut.
Keadaan itu menyebabkan suhu di altitud tinggi turun dengan mendadak, sekali gus membolehkan ais terbentuk pada permukaan sekitar base camp Panalaban.
Fenomena seperti ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah berlaku sebelum ini di Gunung Kinabalu, terutamanya ketika cuaca cerah, kering dan suhu malam hingga awal pagi menjadi sangat rendah.
Sehubungan itu, pendaki diingatkan supaya sentiasa bersedia menghadapi cuaca sejuk dengan memakai pakaian sesuai, memastikan hidrasi mencukupi serta mematuhi semua arahan keselamatan daripada pihak Taman-Taman Sabah dan petugas di kawasan tersebut.
Sumber: Facebook Sabah Parks, TikTok @songom65, TikTok @info.x97