
Foto: Threads
Perkongsian mengenai seorang pemandu e-hailing, Grab yang meletakkan notis khas dalam keretanya menjadi bualan hangat di media sosial, sekali gus membuka mata ramai tentang satu kondisi kesihatan yang jarang diketahui umum.
Advertisement
Sebelum ini, bau badan yang kurang menyenangkan sering dikaitkan dengan sikap tidak menjaga kebersihan. Namun, kisah yang dikongsikan oleh pengguna Threads, @husnazaris ini membuktikan tanggapan tersebut tidak semestinya benar.
Dalam perkongsian tersebut, individu berkenaan menceritakan pengalamannya menaiki kenderaan seorang pemandu Grab yang tampil jujur menjelaskan keadaan dirinya.
Pemandu itu meletakkan notis di bahagian belakang tempat duduk yang memaklumkan bahawa dia menghidap masalah metabolisme yang tidak mempunyai penawar. Pada masa sama, dia turut menegaskan dirinya seorang yang mementingkan kebersihan serta memohon maaf sekiranya bau tersebut mengganggu penumpang.

Foto: BULB
Apa Sebenarnya TMAU
Keadaan yang dialami pemandu tersebut dikenali sebagai Trimethylaminuria atau fish odor syndrome (sindrom bau ikan). Ia merupakan gangguan metabolik yang jarang berlaku di mana tubuh tidak mampu memproses sebatian trimethylamine dengan baik.
Biasanya, sebatian ini akan ditukar kepada bahan yang tidak berbau dalam tubuh manusia. Namun bagi individu yang menghidap TMAU, bahan tersebut akan terkumpul dan dilepaskan melalui peluh, air kencing dan nafas, menyebabkan bau hanyir yang kuat.
Reaksi Netizen dan Pengalaman Sendiri
Menurut individu yang berkongsi kisah ini, dia sendiri baru mengetahui tentang kewujudan penyakit tersebut dan berasa simpati terhadap pemandu berkenaan.
Walaupun mempunyai deria bau yang agak sensitif, dia mendapati keadaan dalam kereta itu bersih, selesa dan tidak mengganggu. Pemandu tersebut juga dilihat berusaha mengawal keadaan dengan mengunyah gula-gula getah bagi mengurangkan bau.
Foto sekadar hiasan
Jangan Terlalu Cepat Menghukum
Kisah ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlalu cepat membuat penilaian terhadap seseorang hanya berdasarkan bau atau penampilan luaran.
Di sebalik sesuatu yang dianggap menjengkelkan, mungkin ada masalah kesihatan yang sedang ditanggung tanpa pengetahuan orang lain. Oleh itu, sikap empati dan memahami sangat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin.
Perkongsian ini bukan sahaja menambah ilmu tentang penyakit jarang berlaku seperti TMAU, malah mengingatkan kita supaya lebih berlapang dada dan menghormati keadaan individu lain yang mungkin sedang melalui cabaran hidup tersendiri.
Sumber: Threads @husnazaris