
Foto: Threads
Seorang ibu mencuri perhatian di Threads apabila meluahkan dilema berhubung nama anak lelakinya yang dianggap terlalu sukar untuk disebut.
Advertisement
Menerusi akaun @lienda_idris, dia berkongsi bahawa anaknya yang bakal berusia tiga tahun masih mempunyai nama yang sukar dilafazkan, malah dia sendiri mengakui berdepan kesukaran menyebutnya.
“Masih sempat ke nak tukar nama anak? Bulan depan dah masuk tiga tahun. Saya pun payah nak sebut, apatah lagi orang lain,” tulisnya.
Lienda turut menjelaskan bahawa nama Hezeque sebenarnya merujuk kepada Ezekiel yang sering dikaitkan dengan Nabi Zulkifli. Sebutannya ialah /ˈiːzɪkiəl/ atau lebih kurang ee-zi-ki-el.
JPN Tampil Beri Penjelasan
Perkongsian itu menarik perhatian Jabatan Pendaftaran Negara yang turut memberi maklum balas secara santai. Mereka sempat berseloroh mengenai nama penuh anak tersebut, Muhammad Hezeque Maleeq Bin Muhammad Gabriel Ikhwan, yang berpotensi mengelirukan dari segi sebutan.
Dalam masa sama, JPN menjelaskan bahawa pertukaran nama anak sebenarnya boleh dilakukan sebelum usia setahun.
Jika sudah melepasi tempoh itu, permohonan masih boleh dipertimbangkan namun perlu disertakan alasan kukuh, contohnya jika nama membawa maksud kurang baik, selain perlu melampirkan dokumen sokongan.
Cara Tukar Nama Dalam Sijil Kelahiran
Penukaran nama hanya dibenarkan sekali sebelum anak berumur setahun, biasanya atas faktor seperti kesilapan ejaan atau nama yang kurang sesuai.
Permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan JPN dan ibu bapa perlu hadir sendiri untuk urusan tersebut.
Dokumen diperlukan termasuk borang permohonan, MyKad ibu dan bapa beserta salinan, sijil kelahiran asal anak serta dokumen sokongan jika berkaitan.
Bayaran pemprosesan dikenakan sebanyak RM10 bagi setiap permohonan.
Nama asal tidak akan dipadam, sebaliknya kekal dalam rekod bersama catatan nama baharu untuk rujukan rasmi.
Tempoh proses biasanya mengambil masa sekitar satu hingga dua minggu sebelum sijil kelahiran baharu siap.
Jika anak telah berusia lebih setahun, permohonan perlu melalui proses mahkamah sebelum pindaan boleh dibuat.
Situasi ini menjadi peringatan agar ibu bapa lebih berhati-hati ketika memilih nama anak kerana ia akan digunakan sepanjang hayat dan memberi kesan dalam urusan harian mereka.
Diharapkan selepas ini, ibu bapa akan lebih peka dengan nama anak-anak mereka kerana ini akan melibatkan kehidupan dan urusan mereka pada masa hadapan kelak.