Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

Misteri Terjawab: Kenapa Pemain Bola Masuk Padang Dengan Kanak-Kanak?

Setiap kali perlawanan bola sepak besar berlangsung, pasti ada satu detik yang sering mencuri perhatian, iaitu ketika pemain berjalan masuk ke padang sambil ditemani kanak-kanak kecil sebelum sepak bermula.

Ramai menganggap ia sekadar tradisi atau elemen visual untuk siaran televisyen, namun sebenarnya kehadiran mereka mempunyai makna yang lebih mendalam dalam dunia sukan profesional.

Advertisement

Kanak-kanak ini dikenali sebagai 'player escort' atau 'match mascot' iaitu individu yang mengiringi pemain ketika sesi masuk ke padang sebelum perlawanan bermula.

Simbol Fair Play dan Kesucian Semangat Sukan

Salah satu tujuan utama tradisi ini adalah membawa mesej bahawa bola sepak bukan sekadar persaingan untuk menang, tetapi juga tentang nilai murni seperti hormat, persahabatan dan semangat kesukanan.

Kehadiran kanak-kanak menjadi simbol bahawa sukan sepatutnya kekal sebagai ruang yang positif dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Lambang Perpaduan dan Generasi Pelapis

Selain itu, tradisi ini turut melambangkan hubungan antara atlet profesional dan generasi masa depan.

Kanak-kanak yang berjalan bersama pemain sering dilihat sebagai simbol harapan bahawa suatu hari nanti mereka juga berpeluang menjadi atlet, pemimpin atau individu yang memberi impak kepada masyarakat.

Secara simbolik, ia menunjukkan bahawa sukan sentiasa berkembang melalui kesinambungan generasi.

Sebahagian Program Komersial dan Tanggungjawab Sosial

Dalam sesetengah kejohanan dan kelab, peluang menjadi player escort turut dijadikan sebahagian daripada aktiviti komuniti.

Ada slot yang diberikan melalui program tajaan, kempen peminat, pertandingan atau disalurkan kepada kanak-kanak daripada yayasan kebajikan serta organisasi sosial bagi memberi pengalaman istimewa yang sukar dilupakan.

Walaupun konsep mengiringi pemain sudah wujud lebih awal dalam beberapa kejohanan, tradisi ini menjadi semakin dikenali di peringkat antarabangsa sekitar era Piala Dunia FIFA 2002 dan berkembang sebagai amalan biasa dalam kejohanan utama dunia.

Hari ini, bukan sahaja bola sepak mengamalkannya malah sukan lain seperti ragbi dan tenis turut menggunakan konsep yang sama untuk mewujudkan suasana lebih mesra keluarga dan dekat dengan komuniti.

Jadi selepas ini, bila nampak kanak-kanak berdiri di depan pemain sebelum wisel permulaan ditiup, ia sebenarnya bukan sekadar hiasan majlis tetapi simbol nilai, impian dan masa depan dunia sukan.

SINAR Muzik Retro Terbaik