
Gambar: Tangkap layar video tular
Suasana tenang di Pulau Angsa, Jeram, bertukar gempar apabila sekumpulan pemancing menemui satu mayat dalam keadaan mencurigakan, petang kelmarin.
Advertisement
Mayat tersebut ditemui kira-kira jam 4.50 petang dalam keadaan berbungkus dengan kanvas dan diikat menggunakan tali, sebelum terdampar di kawasan tebing batu. Difahamkan, keadaan mayat yang sudah berbau kuat menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihak polis segera bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat bagi menjalankan siasatan awal bersama pasukan forensik.
“Hasil pemeriksaan mendapati mayat berkenaan telah mereput. Ia kemudian dibawa ke Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 pagi tadi mengesahkan mangsa adalah seorang lelaki. Punca kematian dikenal pasti akibat lemas selepas dipercayai dijerut di bahagian leher.
“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya lagi.
Pihak polis turut memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Khairol Hiysham Shamsudin di talian 03-3289 1222.
Terdahulu, insiden ini tular di media sosial menerusi satu rakaman video berdurasi 22 saat yang memaparkan detik penemuan mayat tersebut oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berkenaan.
Video: X (mynewshub)