Skip to main content

Advertisement

Berita

Mahu Tambah Sumber Pendapatan Negara, Indonesia Bakal Kenakan Caj Bagi Laluan Kapal di Selat Melaka - “Malaysia Pun Tersenarai..”

Foto: Facebook

Indonesia kini sedang menimbang cadangan untuk mengenakan bayaran ke atas kapal komersial yang menggunakan laluan Selat Melaka, menurut laporan media antarabangsa Anadolu Ajansi yang memetik sumber tempatan.

Advertisement

Cadangan ini dikatakan sebagai usaha untuk menjadikan laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu sebagai salah satu sumber pendapatan baharu negara.

Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa menyatakan langkah tersebut selari dengan aspirasi Presiden Prabowo Subianto untuk memperkukuhkan kedudukan Indonesia dalam perdagangan global.

Dalam satu forum di Jakarta, beliau menekankan kepentingan lokasi strategik Indonesia di laluan perdagangan dunia, namun turut menegaskan bahawa kapal-kapal yang melalui kawasan itu ketika ini tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Indonesia bukan negara yang berada di pinggiran. Kita berada di laluan penting perdagangan dan tenaga dunia, tetapi kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan sebarang caj,” katanya.

Selat Melaka yang dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura merupakan salah satu laluan maritim paling kritikal di dunia, menghubungkan Lautan Hindi dengan Lautan Pasifik. Ia sering dibandingkan dengan laluan strategik lain seperti Selat Hormuz, Suez dan Panama.

Purbaya turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan untuk mengenakan bayaran perlu dibincangkan bersama negara jiran kerana laluan tersebut melibatkan kepentingan bersama.

Beliau juga menyentuh mengenai contoh antarabangsa lain, termasuk idea yang pernah dibincangkan berkaitan tol di Selat Hormuz sebagai rujukan.

Namun begitu, cadangan ini menerima reaksi berbeza di rantau berkenaan. Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menegaskan bahawa laluan maritim di Selat Melaka dan Selat Singapura perlu kekal terbuka tanpa sebarang gangguan atau caj.

“Kami tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menutup, menghalang atau mengenakan tol di kawasan perairan ini,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negara lain juga pernah menolak cadangan mengenakan bayaran di laluan strategik seperti Selat Hormuz, menjadikan isu ini sebagai perbincangan antarabangsa yang masih berterusan.

Sumber: Astro AWANI

SINAR Muzik Retro Terbaik