
Fenomena ‘veneer putih melampau’ yang sering menjadi bahan jenaka di media sosial sebenarnya membuka ruang kepada perbincangan yang lebih serius tentang kesihatan pergigian dan kesedaran pengguna.
Ramai tertanya-tanya, kenapa ada individu yang membuat veneer tetapi hasilnya kelihatan terlalu putih, tebal dan tidak natural malah disamakan dengan ‘kaca jamban’ atau gula-gula mentos. Hakikatnya, veneer bukanlah rawatan kosmetik yang sepatutnya kelihatan keterlaluan. Jika dilakukan dengan betul oleh doktor gigi bertauliah, hasilnya akan tampak semula jadi, sepadan dengan warna kulit, bentuk muka dan gigi asal pesakit.

Advertisement
Secara profesional, veneer terbahagi kepada beberapa jenis material utama seperti composite, zirconia dan e.max (porcelain). Setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri daripada segi ketahanan, estetika dan kos. Prosedur ini juga memerlukan penilaian klinikal yang teliti termasuk struktur gigi, kesihatan gusi dan gigitan sebelum ia dilakukan.
Masalah timbul apabila wujudnya servis ‘fake dentist’ atau rawatan tidak bertauliah yang menawarkan veneer pada harga murah dan proses yang cepat, tanpa prosedur perubatan yang selamat. Dalam kes seperti ini, bahan yang digunakan selalunya tidak berkualiti, warna terlalu putih (tidak natural) dan teknik pemasangan yang tidak mengikut piawaian. Akibatnya, gigi boleh menjadi sensitif, berbau, mudah rosak, malah berisiko menyebabkan jangkitan serius pada gusi dan akar gigi.
Selain itu, trend mendapatkan rawatan murah di luar negara tanpa rujukan sah juga menimbulkan kebimbangan. Bukan semua rawatan di luar negara bermasalah, namun pengguna perlu berhati-hati dan memastikan klinik tersebut berdaftar serta dikendalikan oleh profesional yang diiktiraf.
Kesimpulannya, veneer bukan sekadar soal ingin cantik dengan cara yang cepat, tetapi melibatkan kesihatan jangka panjang. Jika anda mempertimbangkan rawatan ini, dapatkan nasihat daripada doktor gigi bertauliah, fahami jenis material yang sesuai dan elakkan jalan pintas yang boleh membawa padah.