Skip to main content

Advertisement

Berita

Tragedi Perlanggaran Kereta Api di Bekasi: Sekurang-kurangnya 5 Terkorban, Puluhan Cedera

Gambar: AFP

Satu tragedi ngeri menggemparkan Indonesia apabila dua buah kereta api bertembung berhampiran ibu kota Jakarta lewat malam Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa dan mencederakan puluhan yang lain. Insiden yang berlaku di kawasan Bekasi Timur, kira-kira 25 kilometer dari Jakarta itu turut mencetuskan operasi menyelamat berskala besar yang masih berterusan hingga awal pagi Selasa.

Advertisement

Video: X (@txtdrbekasi)

Pasukan penyelamat dilaporkan masih bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa dari gerabak yang remuk, dengan sekurang-kurangnya empat individu dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan tersebut. Keadaan mangsa yang terperangkap masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Salah seorang mangsa terselamat, Sausan Sarifah, 29, berkongsi detik mencemaskan yang hampir meragut nyawanya. Ketika kejadian, beliau berada dalam kereta api komuter yang berhenti di stesen Bekasi Timur sebelum dirempuh secara tiba-tiba oleh sebuah kereta api jarak jauh.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, dalam sekelip mata,” katanya dari katil hospital RSUD Bekasi, di mana beliau dirawat akibat patah tangan dan luka serius di paha.

Menurut Sausan, penumpang ketika itu sedang bersedia untuk turun selepas pengumuman dibuat. Namun, keadaan berubah secara drastik apabila bunyi kuat lokomotif kedengaran sebelum pelanggaran berlaku.

“Tiada masa untuk menyelamatkan diri. Semua orang bertindih sesama sendiri, terperangkap dalam gerabak yang hancur. Saya ingat saya akan mati,” katanya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap mangsa lain yang terhimpit di bawah timbunan manusia, bimbang ada yang tidak sempat diselamatkan.

Menurut jurucakap syarikat kereta api milik negara, KAI, kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah teksi yang melanggar kereta api komuter di lintasan aras. Perlanggaran itu menyebabkan kereta api komuter terhenti di atas landasan sebelum dirempuh oleh kereta api jarak jauh yang datang dari arah belakang.

Difahamkan, gerabak terakhir yang dikhaskan untuk penumpang wanita menerima impak paling kuat dalam pelanggaran tersebut.

Gambar: AFP

Operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi termasuk tentera, bomba, agensi mencari dan menyelamat nasional serta Palang Merah Indonesia. Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas untuk memotong struktur gerabak yang remuk bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Gambar: AFP

Seorang pegawai menyatakan seramai 79 mangsa masih menerima rawatan dan pemantauan di hospital, manakala angka korban dijangka meningkat memandangkan operasi masih berlangsung.

Untuk rekod, kemalangan kereta api besar terakhir berlaku pada Januari 2024 di Jawa Barat yang meragut empat nyawa dan mencederakan puluhan yang lain. Malah, pada tahun 2015, 16 orang maut apabila sebuah kereta api komuter merempuh sebuah minibus di lintasan aras di Jakarta.

Sumber: AFP

SINAR Muzik Retro Terbaik