
Foto sekadar hiasan
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, DSP Pang Meng Tuck, mendedahkan bahawa individu yang banyak bertanya dan tidak mudah percaya sebenarnya antara sasaran paling ‘menyusahkan’ bagi scammer.
Advertisement
Menurut beliau, penipu dalam talian selalunya akan hilang semangat untuk meneruskan penipuan apabila berdepan mangsa yang terlalu banyak soal jawab hingga tak sempat mereka habiskan skrip.
Perkara itu dikongsikan dalam satu forum kesedaran pencegahan jenayah penipuan anjuran Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, seperti dilaporkan Sin Chew.
Beliau berkata hasil temu bual dengan beberapa scammer yang sudah ditahan menunjukkan mereka sendiri mengakui sukar menipu individu yang jenis ‘tak telan bulat-bulat apa yang diberitahu’.
Katanya, ada keadaan di mana terlalu banyak soalan daripada mangsa membuatkan penipu akhirnya mengalah lebih awal dan mencari sasaran lain yang lebih mudah.
Dalam nada yang agak menarik, beliau turut menyebut bahawa ada kumpulan tertentu yang lebih sukar diperdaya, termasuk komuniti India di Malaysia, kerana sering membalas dengan soalan logik yang bertubi-tubi.
“Scammer kata kalau nak tipu cerita penculikan palsu, mangsa akan tanya siapa yang kena culik, di mana, pukul berapa, kenapa… sampai dia sendiri pening dan tak jadi teruskan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, DSP Pang turut berkongsi mengenai kes penipuan cinta atau romance parcel scam, dengan data di Pulau Pinang bagi tahun 2024 merekodkan 57 mangsa wanita berbanding 17 lelaki.
Beliau berkata perbezaan itu mungkin kerana sebahagian lelaki enggan melapor akibat rasa malu.
“Biasanya mangsa ni ada dua keadaan saja, sama ada terlalu kesunyian atau terlalu mudah percaya sampai tak sedar kena tipu,” katanya.
Antara kes yang dikongsi termasuk seorang jururawat di Pulau Pinang yang rugi RM30,000 selepas terpedaya dengan individu yang dikenali secara dalam talian.
Dalam kes lain, seorang wanita turut kehilangan hampir RM1 juta termasuk wang pampasan insurans arwah suaminya selepas diperdaya oleh individu yang dikenali melalui internet.
Sumber: Sinchew