Foto sekadar hiasan
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025 dijadualkan diumumkan pada 31 Mac 2026.
Advertisement
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut yang berlangsung di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah bermula jam 10 pagi pada hari pengumuman.
Bagi calon persendirian pula, keputusan boleh diperoleh dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Dalam masa sama, semakan keputusan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui dua kaedah yang disediakan.
Calon boleh melayari laman web myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan bermula jam 10 pagi, 31 Mac sehingga jam 6 petang, 6 April 2026.
Selain itu, keputusan juga boleh disemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM diikuti nombor kad pengenalan serta angka giliran sebelum dihantar ke talian 15888.
Perkhidmatan SMS tersebut turut dibuka bermula jam 10 pagi, 31 Mac sehingga jam 6 petang, 6 April 2026.
Dalam kenyataan sama, KPM merakamkan penghargaan kepada semua calon SPM 2025 atas usaha mereka sepanjang menghadapi peperiksaan itu dan berharap kejayaan yang dicapai akan menjadi pendorong untuk terus melangkah lebih jauh pada masa depan.
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia