Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Tiada Lagi Kenangan Bergambar di Kaabah? Ini Polisi Baru Arab Saudi!

tiada lagi kenangan bergambar di kaabah? ini polisi baru arab saudi!

Foto Hiasan

Advertisement

Arab Saudi mengetatkan peraturan bagi musim Haji 2026 dengan menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap semua bentuk fotografi dan videografi di Masjid al-Haram, Mekah dan Masjid an-Nabawi, Madinah. Larangan yang diumumkan pihak berkuasa Saudi itu meliputi telefon pintar, kamera digital, GoPro, dron serta apa jua peranti rakaman, sekaligus menjadikannya antara polisi paling tegas sejak sekatan pertama kali diperkenalkan pada 2017.

Menurut laporan media antarabangsa dan kemas kini di platform sosial seperti Instagram, langkah ini diambil bagi melindungi privasi jemaah, mengekalkan suasana kesucian serta memastikan aliran pergerakan yang lebih lancar di kawasan yang sering sesak dengan jutaan pengunjung setiap tahun. Pegawai keselamatan dilaporkan diberi kuasa penuh untuk merampas peranti dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melanggar peraturan tersebut.

Polisi ini merangkumi setiap ruang dalam dan luar dua masjid suci itu tanpa pengecualian. Ia sekali gus memperketat garis panduan terdahulu oleh Kementerian Haji dan Jabatan Perhubungan & Maklumat Arab Saudi yang sudah sekian lama menegur amalan mengambil swafoto ketika ibadah.

tiada lagi kenangan bergambar di kaabah? ini polisi baru arab saudi!

Foto Hiasan

Sebelum ini, pada 2024, Kementerian Haji mengingatkan jemaah agar mengelakkan selfie, manakala pada Jun 2025, Kementerian Dalam Negeri turut memperluas larangan fotografi di kawasan-kawasan penting Haji seperti Mina, Arafat dan Muzdalifah termasuk melarang slogan politik dan pengibaran bendera.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan mengambil gambar ketika kawasan sesak boleh mengganggu pengurusan orang ramai, mencetuskan pergerakan tidak terkawal dan mengundang risiko keselamatan. Beberapa klip yang tular di Instagram sebelum ini turut memaparkan bagaimana jemaah berhenti secara tiba-tiba untuk merakam video, menyebabkan kesesakan dan bahaya kepada jemaah lain.

Media antarabangsa seperti The Cable turut melaporkan bahawa pesalah boleh dikenakan tindakan berat termasuk pengusiran atau deportasi.

Walaupun sebahagian besar umat Islam menerima keputusan ini sebagai usaha menjaga kesucian Tanah Suci, ramai juga meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat lagi merakam momen peribadi dan kenangan berharga semasa Haji atau Umrah. Namun bagi pihak berkuasa Saudi, perlindungan terhadap kepentingan jemaah secara kolektif adalah lebih utama daripada kepentingan individu.

Dengan jutaan umat Islam bersiap sedia menyertai Haji dan Umrah tahun depan, polisi baharu ini bakal mengubah pengalaman ibadah untuk lebih fokus, lebih teratur dan bebas daripada gangguan kamera.

Sumber: hajjreporters.com

SINAR Muzik Retro Terbaik