Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Prabowo Subianto Miliki Kekayaan Melebihi RM530 Juta, Langsung Tiada Hutang Dilaporkan

prabowo subianto miliki kekayaan melebihi rm530 juta, langsung tiada hutang dilaporkan

Foto: FB Prabowo Subianto

Advertisement

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dilaporkan memiliki jumlah harta kekayaan melebihi RM530 juta tanpa sebarang rekod hutang, menurut laporan rasmi terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).

Dalam laporan terbaharu bertarikh 11 April 2025 menerusi Laporan Harta Kekayaan Penjawat Awam (LHKPN), jumlah keseluruhan kekayaan Prabowo dicatatkan sebanyak Rp2,062,241,012,691 atau bersamaan kira-kira Rp2.06 trilion, yang dianggarkan bernilai lebih RM534 juta dalam mata wang Malaysia.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara sekitar Rp19 bilion (lebih RM4.93 juta) berbanding laporan terdahulu yang merekodkan kekayaan beliau sebanyak Rp2,042,682,732,691 atau kira-kira RM519 juta.

Berdasarkan perincian yang dinyatakan dalam laporan itu, sebahagian besar kekayaan Prabowo datang daripada pemilikan aset tidak alih, iaitu hartanah dalam bentuk tanah dan bangunan. Nilai keseluruhan aset hartanah tersebut berjumlah Rp294.5 bilion, yang dianggarkan sekitar RM76.35 juta.

Antara aset hartanah yang dimilikinya termasuk dua bidang tanah dan bangunan di kawasan Jakarta Selatan serta lapan bidang tanah dan bangunan lain yang terletak di Bogor. Kesemua hartanah ini dilaporkan berada di bawah pemilikan langsung beliau.

Selain daripada hartanah, Prabowo turut memiliki beberapa kenderaan mewah daripada pelbagai jenama. Beliau dilaporkan memiliki tujuh buah kenderaan iaitu Toyota Alphard mini bus, Honda CR-V Jeep, Land Rover Jeep, Toyota Land Cruiser Jeep, Mitsubishi Pajero Jeep, Toyota Lexus Jeep dan satu lagi Land Rover Jeep. Di samping itu, beliau juga mempunyai sebuah motosikal berjenama Suzuki yang dianggarkan bernilai Rp3.5 juta atau kira-kira RM906.75.

Menariknya, laporan itu turut mengesahkan bahawa Prabowo Subianto tidak mempunyai sebarang hutang yang didaftarkan atau direkodkan oleh KPK, sekali gus menjadikan keseluruhan jumlah aset bersih beliau mencecah lebih Rp2.06 trilion tanpa sebarang potongan liabiliti kewangan.

Laporan ini bukan sahaja mencerminkan kedudukan kewangan Presiden Indonesia yang kukuh, malah memperlihatkan tahap ketelusan yang diperlukan dalam kalangan penjawat awam negara itu.

Sumber: Laporan 6

SINAR Muzik Retro Terbaik