Foto: Threads
Perkongsian seorang juruvideo, Kimi Zailan di Threads menerusi akaun @kimizailan menjadi perhatian apabila memaparkan momen akad nikah yang bukan biasa biasa.
Advertisement
Mana tidaknya, pengantin lelaki terpaksa mengulang lafaz sehingga tujuh kali sebelum sah bergelar suami.
Pasangan berkenaan, Junaldi atau mesra disapa Jun yang berasal dari Jakarta dan Aisyah dari Ipoh, tampil sedondon mengenakan busana putih dengan latar pelamin bertemakan bunga dan rimbun yang setona.
Suasana nampak tenang dan cantik, namun di hadapan tok kadi, debaran jelas terasa.
Apa yang mencuit hati ramai adalah reaksi spontan Aisyah dalam video tersebut.
“Biasa dua kali lafaz kan, laki aku tujuh kali lafaz,” katanya sambil tersenyum, yang terus mengundang gelak tawa tetamu.
Bercerita tentang perkenalan mereka, Aisyah memaklumkan hubungan itu bermula ketika mereka sama sama melancong.
Dari situ mereka mula mengenali hati budi masing masing sebelum hubungan menjadi semakin serius.
Jun pula berkata mereka sudah hampir tiga tahun saling mengenali. Namun untuk sampai ke fasa perkahwinan, bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya mengenali Aisyah sudah hampir tiga tahun. Tapi sebelum decide nak bernikah, lama juga nak ambil hati dia,” katanya.
Menyentuh tentang momen lafaz yang berulang kali itu, Jun mengakui dia tidak membuat persediaan khusus.
“Jun terlalu sombong, tak ada nak training pun,” ujarnya berseloroh.
Menurutnya lagi, proses akad nikah di Malaysia agak berbeza berbanding di Indonesia.
“Kalau di Indonesia, proses akad nikah terlalu cepat, berbeza di Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu, Aisyah mengakui walaupun situasi tersebut kelihatan mencemaskan, dia sebenarnya berasa bangga.
“Saya sebenarnya bangga sebab tujuh kali lafaz, tapi nak sampai tujuh kali tu muka saya jadi subtitle sebab saya ada timing. Malam tu ada majlis berinai. Orang majlis berinai tu dah push suruh standby,” katanya sambil ketawa.
Walaupun terpaksa mengulang lafaz berkali kali, akhirnya akad sah dilangsungkan dan suasana bertukar menjadi lebih lega serta penuh kegembiraan.
Tujuh kali lafaz mungkin jarang berlaku, namun bagi Jun dan Aisyah, itulah cerita manis yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.
Sumber: Threads @kimizailan