
Foto: Instagram
Advertisement
Selepas lima bulan berdepan proses perundangan di mahkamah, penyanyi Zehra Zambri akhirnya sah bercerai talak satu dengan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin. Lafaz cerai tersebut dibuat di hadapan Hakim Syarie, Wan Nuruldin Wan Hussain di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Peguam Syarie yang mewakili Zehra, Abd Muiz Samsuri, mengesahkan bahawa Mohd. Iqwan telah melafazkan talak satu terhadap anak guamnya, sekali gus menamatkan ikatan rumah tangga yang terjalin sejak November 2021.
“Alhamdulillah, hari ini pihak defendan iaitu Mohd. Iqwan telah melafazkan cerai terhadap Zehra dengan talak satu. Maka, selesailah hubungan mereka sebagai suami isteri,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Zehra, 38, yang kelihatan sebak ketika keluar dari kamar mahkamah berkata, beliau bersyukur segala urusan telah dipermudahkan dan beban yang ditanggung sepanjang proses perpisahan akhirnya selesai.
“Alhamdulillah, pada 20 Ogos 2025 berakhirlah semuanya selepas lima bulan saya turun naik mahkamah untuk memfailkan perceraian ini. Saya rasa sedikit beban sudah hilang dan kini saya boleh merencana banyak perkara demi kehidupan saya dan anak.
“Saya perlukan masa untuk memulihkan diri dan berdamai dengan takdir ini. Insya-Allah saya akan mencari semula semangat yang hilang serta memulakan kehidupan baharu,” katanya penuh emosi.
Sementara itu, Mohd. Iqwan turut melahirkan rasa lega apabila lafaz talak berjaya disempurnakan selepas beberapa kali tertangguh.
“Alhamdulillah, hari ini selesai dan kami bercerai secara talak raj‘ie, iaitu perceraian yang masih membolehkan rujuk dalam tempoh iddah. Hari ini hanya lafaz cerai sahaja di hadapan hakim.
“Terus terang saya juga berasa bimbang sebelum ini kerana pernah tertangguh akibat keadaan isteri yang tidak suci, namun syukur akhirnya semua berjalan lancar,” ujarnya.
Untuk rekod, pada Mac lalu Zehra memfailkan cerai secara fast track selepas mendakwa sudah terlalu banyak berkorban mempertahankan rumah tangga yang dibina selama tiga tahun. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun.
Sebelum perkahwinan ini, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun hubungan itu hanya bertahan enam bulan sebelum bercerai pada April 2018. Mohd. Iqwan pula mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu sebelum mengahwini Zehra.
Sumber: Kosmo