Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Sebulan Suami Hilang, Zehra Zambri Dedah Tiada Usaha Jenguk Anak

sebulan suami hilang, zehra zambri dedah tiada usaha jenguk anakFoto: HibGlam

Penyanyi Zehra Zambri meluahkan kekecewaan apabila suaminya, Mohd Iqwan Samsudin, 42, didakwa menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita dan tidak menjenguk anak mereka sejak sebulan lalu.

Advertisement

Menurut Zehra, kali terakhir suaminya melawat puteri mereka, Zahiyah Iqleela, 2, adalah pada 10 Julai lalu ketika anak tersebut dimasukkan ke hospital akibat masalah kahak di paru-paru. Sejak itu, tiada lagi komunikasi antara mereka.

“Selepas saya memfailkan tuntutan cerai, perbualan kami hanya berkisar mengenai keperluan anak. Namun kini, setiap kali saya bertanya soal tersebut, dia terus menghilang.

“Kali terakhir dia melihat anak adalah semasa di hospital, dan itu merupakan komunikasi terakhir kami. Nafkah anak juga tiada. Sejak dahulu, sebahagian besar keperluan anak saya yang tanggung,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada jam 9 pagi tadi.

Zehra hadir ditemani bapanya, Zambri Ahmad, bagi prosiding lantikan Hakam Islah iaitu pendamai yang dilantik oleh mahkamah. Beliau menegaskan, meskipun hubungan mereka kini berada di fasa perceraian, tanggungjawab seorang bapa seharusnya tetap dilaksanakan.

“Saya hanya mahu dia menjalankan tanggungjawab sebagai bapa. Sepanjang tempoh sebulan ini, tiada langsung usaha bertanya khabar atau menjenguk anaknya sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara fast track selepas mendakwa telah berusaha lebih tiga tahun mempertahankan rumah tangga, namun menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, Mohd Iqwan enggan melafazkan cerai melainkan Zehra menggugurkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakan di mahkamah. Antara tuntutan tersebut termasuklah ketiadaan persefahaman, pengabaian tanggungjawab, masalah sikap, serta kegagalan menyelamatkan institusi perkahwinan.

Mahkamah kemudiannya memutuskan supaya pasangan tersebut melantik wakil bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) sebelum diteruskan dengan lantikan hakam selepas tiada penyelesaian dicapai.

Zehra dan Mohd Iqwan berkahwin pada 10 November 2021 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Zahiyah Iqleela.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik