Seorang pesara guru wanita berputih mata apabila mengetahui dirinya ditipu dan mengalami kerugian lebih RM1.22juta.

Dia didakwa terpedaya dengan skim bursa saham yang tidak wujud menerusi media sosial September tahun lalu.
Advertisement
Mangsa berusia 70-an terpengaruh dan tertarik dengan tawaran terbabit setelah menyertai kumpulan aplikasi WhatsApp bursa saham yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, mangsa telah dicadangkan untuk menyertai pelaburan emas dan bitcoin yang menawarkan pulangan lumayan pada 30 Oktober 2023.
Tambahnya, mangsa kemudiannya telah membuat 29 transaksi pelaburan berjumlah RM1.22juta ke dalam lapan akaun bank yang berbeza menggunakan wang simpanan persaraan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bermula 14 November hingga 22 Disember lalu.
Namun, mangsa tidak dibenarkan membuat sebarang pengeluaran wang keuntungan yang diperolehi.
Dia juga dijanjikan dengan pulangan keuntungan maksimum 30 kali ganda daripada jumlah pelaburan yang dibuat.
"Sehingga kini mangsa tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan dan dia mula sedar dirinya telah terpedaya sindiket penipuan itu,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian