
Foto: Astro Awani
Advertisement
Mahkamah Majistret hari ini membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang sebelum ini didakwa menampar seorang pemuda yang dikatakan 'tidak berpuasa' pada Ahad lalu.
Majistret A Shaarmini mengumumkan keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan bahawa beliau telah menerima arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Memetik laporan Berita Harian, Abdul Razak Ismail, 65, dilaporkan mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Abdul Razak didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah pada pukul 3.45 petang, Ahad lalu.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Fakta kes menunjukkan kejadian berlaku apabila Abdul Razak menampar pipi kanan mangsa, yang mengakibatkan lebam.
Walau bagaimanapun, Abdul Razak mendakwa beberapa fakta yang dibacakan oleh pihak pendakwaan adalah tidak tepat.
"Saya tampar tapi tak sampai lebam," katanya.
Ketika Majistret bertanya sama ada beliau mahu dibicarakan, Abdul Razak mengaku bersalah walaupun tidak bersetuju dengan fakta tersebut, menyebabkan Majistret menolak pengakuan bersalah yang dibuat secara bersyarat.
Ketika Timbalan Pendakwa Raya sedang berhujah untuk menetapkan jaminan tertuduh, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara di Putrajaya telah mengarahkan untuk mengklasifikasikan kes tersebut sebagai DNAA.
Majistret kemudian bertanya sama ada kes itu akan dibawa semula untuk perbicaraan, dan Timbalan Pendakwa Raya menjawab bahawa kes tersebut akan dituduh semula setelah kertas siasatan diperiksa oleh Pejabat Peguam Negara.
Sejurus sebelum ini, video yang tular di media sosial menunjukkan seorang pemuda ditegur oleh Abdul Razak kerana didakwa makan secara terbuka di bulan Ramadan di sebuah pusat kedai serbaneka.
Ketegangan berlaku apabila Abdul Razak meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan untuk membuktikan dia bukan beragama Islam.
Pemuda tersebut yang enggan menunjukkan kad pengenalan mendakwa beliau dimarahi dan ditampar beberapa kali oleh Abdul Razak.
Sumber: Berita Harian