Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila dua ejen warga Bangladesh bergaduh dan berebut untuk menghantar pesakit ke klinik di sebuah Poliklinik di Taman Prima Saujana, Kajang, Selangor.

Malah, mereka juga berang sesama sendiri sehingga mengeluarkan beberapa batang kayu hoki.
Advertisement
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, pihaknya ada menerima laporan polis daripada seorang doktor lelaki berhubung kejadian berkenaan, semalam.
Berita yang tular yang mengatakan mereka menyerang seorang wanita adalah tidak benar, namun pergaduhan itu berlaku sesama sendiri dua ejen tersebut.
“Sekitar pukul 6 petang, dua kumpulan warga Bangladesh hadir ke Poliklinik miliknya untuk pemeriksaan kesihatan namun turut didatangi dua ejen berlainan yang juga warga sama.
“Semasa sekumpulan individu itu berada di hadapan premis, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mula mengeluarkan beberapa batang kayu hoki,” katanya.
Tambahnya, suspek marah dan bertindak masuk ke dalam Poliklinik menyebabkan pekerja mangsa menjerit dan menghalau kesemua warga asing itu.
“Bertindak atas maklumat, tiga lelaki warga Bangladesh ditahan sepasukan polis di sekitar Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 1.15 pagi tadi.
“Kesemua lelaki berusia 24 hingga 32 tahun itu mengaku terlibat dan dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin hadapan,” jelasnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber: Kosmo Online