Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Wanita Perancis Dikenal Pasti Miliki Jenis Darah Baharu Buat Pakar Sains Dunia Terpegun

wanita perancis dikenal pasti miliki jenis darah baharu buat pakar sains dunia terpegunFoto sekadar hiasan

Seorang wanita warga Perancis yang berasal dari Pulau Guadeloupe di Caribbean telah mencetuskan kejutan dalam dunia perubatan apabila dikenal pasti sebagai satu-satunya individu yang memiliki jenis darah baharu yang belum pernah direkodkan sebelum ini.

Advertisement

Jenis darah tersebut dinamakan sebagai ‘Gwada Negatif’ dan penemuan ini disahkan oleh Agensi Bekalan Darah Perancis atau French Blood Establishment (EFS).

Menurut kenyataan rasmi EFS yang dikeluarkan pada 20 Jun lalu, penemuan jenis darah baharu ini berlaku kira-kira 15 tahun selepas saintis menerima sampel darah daripada seorang pesakit yang sedang menjalani ujian rutin sebelum menjalani pembedahan.

Hasil pemeriksaan awal pada tahun 2011 menunjukkan kehadiran antibodi yang amat luar biasa, namun pada ketika itu, kekurangan sumber telah menghalang kajian lanjut dilakukan.

Situasi tersebut berubah pada tahun 2019 apabila saintis kembali menjalankan penyelidikan dengan menggunakan teknologi ujian DNA berketepatan tinggi. Ujian tersebut akhirnya berjaya membongkar satu mutasi genetik yang membawa kepada pengesahan kewujudan sistem kumpulan darah baharu.

Penemuan ini kemudiannya diiktiraf secara rasmi sebagai sistem kumpulan darah ke-48 di dunia oleh Persatuan Transfusi Darah Antarabangsa dalam satu persidangan yang berlangsung di Milan pada awal Jun.

Wanita berusia 54 tahun yang kini menetap di Paris itu dikenalpasti sebagai satu-satunya pembawa jenis darah ‘Gwada Negatif’ di dunia.

Menurut Dr. Thierry Peyrard, seorang ahli biologi perubatan dari EFS yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan ini, wanita tersebut hanya serasi dengan darahnya sendiri.

Hal ini disebabkan jenis darah yang dimilikinya tidak mempunyai padanan dalam kalangan mana-mana individu lain di dunia. Kajian turut mendapati bahawa wanita itu mewarisi darah tersebut daripada kedua-dua ibu bapanya yang masing-masing membawa gen mutasi berkaitan.

Nama ‘Gwada Negatif’ dipilih bersempena dengan asal-usul wanita itu, iaitu dari Guadeloupe. Dr. Peyrard menyatakan bahawa istilah tersebut dipilih kerana mudah disebut dan kedengaran baik dalam pelbagai bahasa. Penemuan luar biasa ini telah mencipta satu mercu tanda baharu dalam sejarah perubatan, khususnya dalam bidang hematologi dan imunologi.

Sehingga kini, dunia perubatan hanya mengiktiraf 47 sistem kumpulan darah yang merangkumi sistem-sistem utama seperti ABO dan Rh. Penambahan sistem ke-48 ini bukan sahaja mengembangkan lagi pengetahuan saintifik tentang kepelbagaian biologi manusia, malah dijangka memberi kesan besar terhadap prosedur pemindahan darah, terutamanya bagi individu yang mempunyai variasi genetik yang jarang ditemui.

Penemuan unik ini menandakan bahawa dunia sains masih jauh daripada mengenali keseluruhan kompleksiti tubuh manusia. Ia turut membuka ruang kepada lebih banyak penyelidikan berkaitan mutasi genetik dan kepelbagaian sistem darah dalam kalangan populasi global, khususnya individu-individu dari wilayah terpencil atau latar etnik tertentu.

Sumber: Vocket

SINAR Muzik Retro Terbaik