Foto: Instagram
Seorang pengguna Threads baru-baru ini meluahkan rasa tidak selesa apabila prosedur X-ray dada di hospital awam masih dikendalikan oleh staf lelaki, sedangkan pesakit wanita perlu membuka tudung dan mendedahkan aurat. Dia mencadangkan agar prosedur seperti ini diberi pilihan staf wanita, terutama kerana ia bukan melibatkan situasi kecemasan.
Advertisement
Namun, respon balas daripada Dr Malar yang merupakan seorang pegawai perubatan yang aktif di media sosial sedikit sebanyak telah mencuri tumpuan netizen..
“Malaysia masih tak boleh wujudkan SOP syariah compliant sebab orang macam akak tak belajar untuk jadi juru X-ray, nurse, MA atau doktor. Orang macam akak request, tapi tak contribute,” katanya.
Kenyataan tersebut dilihat keras dan seolah-olah menyalahkan rakyat biasa atas kelemahan sistem. Ramai netizen membalas bahawa bukan semua orang mampu atau perlu bekerja dalam bidang kesihatan untuk menuntut layanan yang patuh syariah.
Sebahagian pula mempertahankan Dr Malar dengan alasan bahawa realiti sistem kesihatan awam memang bergelut dengan kekurangan petugas wanita terutama dalam bidang teknikal seperti radiografi, yang tidak membolehkan semua pesakit wanita dilayan staf wanita sepanjang masa.
Namun, statistik menunjukkan bahawa jururadiografi wanita sebenarnya lebih ramai dalam bidang itu, tetapi agihan mereka mungkin tidak mencukupi di semua lokasi dan syif.
Isu ini menunjukkan jurang antara keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan yang mesra syariah dan kemampuan sistem kesihatan awam untuk memenuhinya. Walau apapun, ramai bersetuju, perbincangan seperti ini perlu dibuat dengan hormat dan empati, bukan dengan menyindir atau menyalahkan mana-mana pihak.
Sumber: Threads