Foto: Nation Thailand
Seorang calon perdana menteri Thailand mengundang perhatian ramai selepas mencadangkan agar wanita dibenarkan berkahwin dengan sehingga empat orang suami atas alasan memperjuangkan kesaksamaan gender, lapor portal VnExpress.
Advertisement
Pemimpin Parti Alternatif Thailand, Mongkolkit Suksintharanont, menerusi hantaran di Facebook menyatakan bahawa jika masyarakat benar-benar menjunjung prinsip kesamarataan, hak untuk mempunyai lebih daripada seorang pasangan juga wajar diberikan kepada wanita.
Menurut beliau, pelaksanaan cadangan tersebut hanya boleh dibuat sekiranya semua pihak yang terlibat memberikan persetujuan tanpa paksaan.
Idea itu dengan pantas mencetuskan reaksi pelbagai pihak di media sosial dan sekali gus mengukuhkan imej Mongkolkit sebagai ahli politik yang dikenali dengan pandangan luar kebiasaan serta mencabar norma sedia ada.
Portal berita Thailand, Khaosod melaporkan bahawa Mongkolkit sebelum ini pernah tampil dengan beberapa cadangan kontroversi, antaranya rancangan menubuhkan pasukan angkasa negara dalam tempoh singkat selepas memegang jawatan.
Selain itu, beliau juga pernah mencadangkan pemberian ganjaran kewangan kepada wanita bagi meningkatkan kadar kelahiran serta mengaitkan kenaikan gaji rakyat dengan kewajipan melakukan senaman harian.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Thailand sedang menuju ke pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada 8 Februari ini, yang bakal menyaksikan pelantikan perdana menteri baharu buat kali keempat dalam tempoh tiga tahun.
Terdahulu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, telah mengumumkan pembubaran parlimen pada 11 Disember lalu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya lebih awal.
Sumber: VN Ekspress