Foto: Agensi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa mulai tahun 2026, Malaysia akan mengembalikan Sistem Matrik Pembelajaran Malaysia.
Advertisement
Sistem ini merujuk kepada penilaian atau peperiksaan yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan bagi murid Darjah 4 sekolah rendah.
“Mulai tahun 2026, tahun ini pihak kerajaan akan kembalikan Sistem Matrik Pembelajaran Malaysia iaitu sistem penilaian atau peperiksaan yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Darjah 4 Sekolah Rendah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para guru supaya bersiap sedia menghadapi perubahan ini.
Pelancaran pengumuman tersebut dibuat semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang berlangsung hari ini.
RPN 2026–2035 adalah pelan strategik pendidikan negara yang merangkumi seluruh sistem pendidikan dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi. Pelancaran rasmi rancangan ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Di peringkat pendidikan tinggi, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 akan menjadi panduan utama bagi pembangunan pendidikan tinggi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.
RPTM menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) dan dibangunkan melalui libat urus besar melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar akademik, institusi pendidikan tinggi, industri dan wakil masyarakat.
RPTM bersifat dinamik dan fleksibel, sejajar dengan perubahan global serta kemajuan teknologi. Ia menekankan pembangunan bakat pembina negara, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan dalam kurikulum serta usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau.
Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang dipimpin Kementerian Pendidikan akan menjadi rujukan utama bagi pembangunan pendidikan sekolah.
RPM menumpukan kepada tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi yang menekankan peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, serta penambahbaikan prasarana dan sistem penyampaian.
Pelaksanaan RPTM dan RPM secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 bertujuan memastikan kesinambungan pembangunan modal insan dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan yang berkualiti, inklusif dan berdaya saing.
Sumber: Siaran Langsung Astro AWANI