Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Stop Buka Puasa Cara Ini Kalau Tak Nak ‘Tewas’ Lepas Makan

stop buka puasa cara ini kalau tak nak ‘tewas’ lepas makanFoto sekadar hiasan

Setiap kali Ramadan, ramai yang tak sabar menanti waktu berbuka. Sebaik sahaja azan berkumandang, tangan terus capai air manis dan kuih-muih.

Advertisement

Niatnya mahu cepat dapat tenaga, tetapi yang berlaku sebaliknya. Baru lepas makan, badan sudah rasa berat, mata mengantuk dan semangat terus merudum.

Persoalannya, kenapa jadi begitu?

Perut Kosong Bukan Lesen Untuk Sumbat Gula

Selepas hampir 14 jam tidak makan dan minum, badan berada dalam keadaan sangat sensitif. Paras gula dalam darah rendah dan sistem tubuh bersedia menerima nutrien.

Apabila makanan atau minuman manis diambil terlebih dahulu, gula akan diserap dengan sangat pantas. Paras glukosa meningkat mendadak dan tubuh terpaksa mengeluarkan insulin dalam jumlah besar untuk mengawal keadaan.

Kesan awalnya mungkin rasa segar seketika. Namun tidak lama selepas itu, paras gula jatuh dengan cepat. Inilah yang menyebabkan rasa lemau, mengantuk dan tiba-tiba mahu makan lagi walaupun baru selesai berbuka. Fenomena ini sering menjadi punca ‘food coma’ sebelum sempat menunaikan Tarawih.

stop buka puasa cara ini kalau tak nak ‘tewas’ lepas makanFoto sekadar hiasan

Silap Susunan, Salah Tenaga

Masalahnya bukan pada nasi atau kuih semata-mata, tetapi pada urutan pengambilan makanan. Jika gula dan karbohidrat masuk terlalu awal, tubuh akan mengalami lonjakan dan kejatuhan tenaga dalam masa singkat.

Cara yang lebih bijak ialah mengutamakan makanan yang memperlahankan penyerapan gula sejak awal lagi.

Mulakan Dengan Air dan Makanan Berzat

Langkah pertama yang sepatutnya dilakukan ialah minum air kosong untuk mengembalikan hidrasi. Tubuh yang cukup air lebih bersedia untuk menghadam makanan.

Selepas itu, dahulukan sumber protein dan serat seperti ayam, ikan, telur, sup berasaskan daging, tempeh atau sayur-sayuran. Kombinasi ini membantu memperlahankan proses penghadaman dan mengawal kadar penyerapan gula.

stop buka puasa cara ini kalau tak nak ‘tewas’ lepas makanFoto sekadar hiasan

Karbohidrat Kemudian, Bukan di Awal

Selepas tubuh menerima protein dan serat, barulah ambil nasi, kuih atau makanan manis termasuk kurma. Apabila diambil dalam susunan ini, peningkatan gula dalam darah menjadi lebih terkawal.

Tenaga juga lebih stabil dan rasa kenyang mampu bertahan lebih lama. Risiko mengantuk keterlaluan selepas makan dapat dikurangkan, malah badan terasa lebih ringan untuk beribadah pada waktu malam.

Bezanya Boleh Rasa Dalam Beberapa Hari

Ramai yang mencuba kaedah ini mengakui mereka kurang rasa ‘berat’ selepas makan. Keinginan untuk snek manis pada lewat malam juga berkurangan kerana paras gula tidak turun naik secara mendadak.

Hakikatnya, perubahan ini tidak memerlukan menu mahal atau diet ekstrem. Hanya tukar susunan ketika berbuka. Air kosong dahulu, diikuti protein dan serat, kemudian barulah karbohidrat serta manisan.

Kadang-kadang, yang membuatkan kita lesu sepanjang Ramadan bukanlah kerana berpuasa, tetapi kerana cara kita berbuka.

Sumber: Threads @akmalhakimhilman

SINAR Muzik Retro Terbaik