Foto: Facebook
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan atas kesediaan negara itu membantu membebaskan sembilan lagi aktivis Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis Israel.
Advertisement
Menurut Anwar, komitmen tersebut disampaikan Erdogan menerusi Menteri Luar Turkiye kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, petang tadi.
“Masih ada sembilan rakyat Malaysia dalam tahanan Israel. Sahabat saya, Recep Tayyip Erdogan baru menyampaikan mesej melalui Menteri Luarnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan. Insya-Allah, Turkiye akan terus membantu usaha pembebasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Gaza yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.
Anwar turut memuji ketegasan Turkiye yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin di pentas antarabangsa, meskipun berdepan tekanan besar daripada kuasa dunia.
“Abad ini belum pernah menyaksikan penghinaan terhadap rakyat Gaza sebegitu dahsyat. Walaupun suara kita kecil berbanding Israel, sedikit pun tidak menggugat semangat perjuangan kita.
“Kita bersama dunia Arab dan Islam menuntut penindasan ini dihentikan segera. Kita mahu Gaza dibebaskan dan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan,” tegasnya.
Terdahulu, sembilan rakyat Malaysia dilaporkan ditahan tentera Israel selepas kapal yang membawa mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Lapan daripada mereka menaiki kapal Conscience, terdiri daripada Ketua Misi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi serta wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Turut bersama ialah dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di kapal layar Umm Saad yang turut dipintas rejim Zionis.
Kesemua mereka menyertai gelombang ketiga misi flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat ke Gaza membawa bantuan, termasuk wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis.
Misi kali ini dilaksanakan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 kapal berlepas dari Itali pada 27 September lalu, manakala kapal Conscience bertolak dari Porto Otranto pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan MyCARE mengetuai penyertaan delegasi Malaysia.
Sumber: Astro AWANI