Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Trump Kenang Malaysia Dalam Ucapan Di Jepun, Puji Kepimpinan Anwar Ibrahim

trump kenang malaysia dalam ucapan di jepun, puji kepimpinan anwar ibrahimFoto: Malay Mail

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menzahirkan rasa penghargaan terhadap Malaysia apabila menyebut nama negara ini dalam satu ucapan ketika berada di Jepun hari ini.

Advertisement

Dalam ucapannya, Trump berkongsi pengalaman sewaktu pentadbirannya berunding dengan beberapa negara Asia berhubung isu keselamatan dan perdagangan, di mana Malaysia dilihat memainkan peranan penting dalam membantu melancarkan proses tersebut.

Rakaman video ucapan itu dimuat naik oleh pengguna TikTok bernama Duan, memperlihatkan Trump mengimbas kembali detik rundingan yang dikatakan berlangsung ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya menyebut Kemboja. Saya menyebut Thailand. Dan selepas dua hari, masalah kami selesai dengan bantuan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan tersebut.

Trump menjelaskan bahawa fasiliti di Malaysia telah digunakan sebagai lokasi rundingan kerana kemudahan yang disediakan amat baik dan sesuai menampung keperluan delegasi pelbagai pihak.

 

@duan.stava

Tak leh move on lg dok Malaysia 2 hari sahaja. Sebab tu jadi gelong di Japan..

♬ original sound - 🅳🆄🅰🅽

 

“Malaysia umpama penyelaras. Kami menggunakan sebuah fasiliti yang indah di Malaysia kerana situasi ketika itu sangat tegang, bukan sahaja dari segi emosi, malah seolah-olah ‘senjata terbang ke mana-mana’. Malaysia benar-benar membantu kami melaksanakan rundingan tersebut,” jelasnya.

Dalam ucapan sama, Trump turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berwibawa dan memainkan peranan besar dalam memastikan proses rundingan berjalan lancar.

“Perdana Menteri Malaysia seorang yang luar biasa. Beliau tetap tenang dan dalam tempoh dua hari sahaja, kami berjaya menandatangani perjanjian.

“Kedua-dua pihak yang sebelum ini berseteru akhirnya duduk sebagai rakan baik. Ia sesuatu yang indah untuk dilihat,” ujar Trump sambil menambah bahawa usaha itu berpotensi menyelamatkan jutaan nyawa di rantau Asia.

Trump turut berseloroh bahawa konflik antara kedua-dua negara yang dirundingkan Malaysia itu telah berlarutan “selama ratusan tahun” sebelum akhirnya berjaya diselesaikan.

Terdahulu, Trump berlepas dari Malaysia pada Isnin pagi, jam 10.06, menuju ke Jepun sebagai sebahagian daripada siri lawatan rasminya ke Asia.

Beliau tiba di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. 

Sepanjang lawatan itu, Trump turut menandatangani perjanjian perdagangan serta mineral bersama Malaysia, selain mengambil langkah memulihkan hubungan diplomatik dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selepas beberapa bulan ketegangan antara kedua-dua negara.

Sumber: TikTok

SINAR Muzik Retro Terbaik