
Foto: Facebook (Kedah Royal Family)
Advertisement
Dalam satu kunjungan ke Kampung Sungai Pial, Merbok, pasukan AADK Daerah Kuala Muda dipertemukan dengan sepasang warga emas, seorang tokwan dan toknek yang menyimpan kisah duka tentang cucu kesayangan mereka.
Cucu lelaki berusia lingkungan 30-an itu sudah lama terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Teguran tidak lagi diendahkan, nasihat seolah-olah hilang makna. Tokwan menceritakan, dua hari sebelum kunjungan, beliau sendiri pergi ke balai polis untuk membuat laporan, memohon agar cucunya ditangkap.
Bukan kerana marah. Bukan kerana benci. Tetapi kerana terlalu sayang.

Tokwan dan toknek telah membesarkan cucu itu sejak kecil dengan penuh kasih sayang. Namun melihat keadaannya yang semakin teruk, tokwan merasakan tindakan tegas adalah satu-satunya jalan. Pintu rumah dikunci rapi, bimbang cucu melarikan diri. Mujur cucu berada di dalam bilik. Tokwan sempat berseloroh, jika terlepas, “macam pelesit, hilang tak dapat dikejar”.
Dengan hati yang berat, tokwan berharap cucunya ditahan lebih lama. Bukan untuk menghukum, tetapi agar cucunya sedar, berubah dan kembali menjadi manusia yang berguna. Tokwan sendiri menyebut tentang tindakan di bawah Seksyen 39C, dengan harapan undang-undang dapat menjadi jalan terakhir untuk menyelamatkan cucu tersayang.

Foto: Facebook (AADK Daerah Kuala Muda)
Tindakan berani warga emas ini mendapat perhatian dan pujian Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin. Menurut baginda, tindakan tersebut adalah satu langkah yang bertanggungjawab dan wajar dijadikan contoh kepada masyarakat.
“Ini adalah satu langkah yang bertanggungjawab dan berani. Ia tanda kasih sayang terhadap cucu kerana tindakan sebegini mampu menyelamatkan beliau daripada keadaan yang lebih teruk,” titah baginda ketika berangkat ke rumah warga emas berkenaan.
Baginda turut menegaskan bahawa melaporkan perkara yang salah adalah satu tanggungjawab daripada segi agama dan moral. Perbuatan menyembunyikan kesalahan hanya akan memburukkan keadaan.
“Melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa seperti AADK membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit,” tambah baginda.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan, memaklumkan bahawa cucu warga emas tersebut yang berusia 29 tahun pernah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah pada tahun 2020, 2023 dan 2024. Lelaki itu ditahan sekali lagi selepas datuknya membuat laporan polis agar tindakan segera diambil.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang dalam proses membuat permohonan bagi siasatan mengikut Seksyen 39C akta yang sama,” katanya.
Sumber: Facebook