Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Tiz Zaqyah Dedah Bakal Tamatkan Zaman Bujang - ”Dia Bukan Orang Industri, Tapi Abangnya Pernah Jadi Hero Saya dalam Drama…”

 tiz zaqyah dedah bakal tamatkan zaman bujang - ”dia bukan orang industri, tapi abangnya pernah jadi hero saya dalam drama…”Foto: Instagram

Pelakon berbakat Tiz Zaqyah berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga tahun hadapan bersama lelaki yang dikenalinya sejak di bangku sekolah rendah.

Advertisement

Tiz atau nama penuhnya Zaqyah Abdul Razak, 37, berkata walaupun belum menetapkan tarikh pernikahan, dia bersyukur dengan ketentuan Allah dan memohon doa yang baik daripada semua.

“Allah susun perjalanan hidup saya dengan cantik. Doakan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Menariknya, Tiz memberitahu bakal suaminya ialah jiran setaman yang sudah dikenali keluarganya sejak kecil.

“Kami kenal dari darjah satu dan baru bercinta hampir setahun. Alhamdulillah, tak susah nak kenalkan pada keluarga sebab memang semua dah saling kenal lama,” ujarnya sambil tertawa.

Katanya lagi, hubungan mereka terjalin semula selepas sekian lama tidak berhubung dan kini dia yakin lelaki tersebut ialah pilihan yang tepat.

“Sebelum ini kami hanya kawan biasa, tapi bila bertemu semula baru sedar kami banyak persamaan dan sangat serasi,” jelasnya.

Tiz turut mendedahkan bakal suaminya bukan daripada industri hiburan, namun mempunyai kaitan dengan dunia seni.

“Dia bukan orang industri, tapi abangnya pelakon dan pernah jadi hero dalam drama saya. Buat masa ini, itu saja saya boleh kongsikan, takut nanti terkena penyakit ain,” katanya.

Tiz menambah, dia akan berkongsi tarikh perkahwinan apabila semuanya dipastikan.

“Ramai yang tunggu saya kahwin, jadi bila tiba masanya nanti saya akan umumkan,” katanya.

Dalam pada itu, Tiz akan tampil dalam drama terbaharu Impiana Karma arahan Ayra Rahman yang bakal bersiaran di Astro Ria mulai 19 November ini, turut menampilkan pelakon seperti Che Puan Juliana Evans, Adriana Adnan, Yuna Rahim dan Sharifah Haneesya.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik