Foto: Agensi
Tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara kini dilaporkan telah menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia selepas berlaku penyelarasan garisan sempadan antara Indonesia dan Malaysia, menurut laporan portal Kompas.
Advertisement
Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan (BNPP), Makhruzi Rahman, mengesahkan perubahan ini dan menjelaskan ia hasil daripada penyelesaian beberapa isu sempadan yang belum dituntaskan sebelum ini.
Perkembangan tersebut diumumkan ketika mesyuarat bersama Suruhanjaya II DPR yang diadakan di Bangunan DPR, Senayan, Jakarta pada Rabu lalu.
Makhruzi menjelaskan bahawa isu yang diselesaikan melibatkan beberapa Outstanding Boundary Problem (OBP) yang telah dipersetujui melalui memorandum persefahaman semasa Mesyuarat Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 pada 18 Februari 2025 di Pulau Sebatik. Antara kawasan yang terlibat ialah B-2700, B-3000 dan Simantipal.
Namun begitu, beliau turut menyatakan bahawa kira-kira 127 hektar kawasan di Pulau Sebatik masih kekal di bawah kawalan Indonesia.
Selain itu, terdapat empat segmen OBP di bahagian barat Kalimantan Barat yang masih belum selesai, iaitu D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum.
Kawasan ini kini sedang melalui proses tinjauan lapangan secara unilateral oleh pasukan teknikal Indonesia serta pertukaran maklumat untuk menentukan terma rujukan (TOR) dan prosedur operasi standard (SOP).
Makhruzi turut menjelaskan bahawa tiga kampung yang terjejas adalah Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas, yang sebelum ini berada dalam kawasan pentadbiran Nunukan.
“Di kawasan eks OBP Sinapat dan Kecamatan Lumbis Hulu, Kabupaten Nunukan, terdapat tiga kampung yang sebahagian wilayahnya kini termasuk ke dalam wilayah Malaysia,” jelasnya.
Walaupun terdapat penyesuaian yang menyebabkan sebahagian kawasan berpindah, Indonesia pula memperoleh tambahan wilayah seluas kira-kira 5,207 hektar.
Tanah yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia ini dicadangkan untuk pembangunan kawasan sempadan, termasuk sebagai kawasan hutan gantian bagi pembinaan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) serta pembangunan Zon Perdagangan Bebas.
Perubahan sempadan ini menunjukkan kemajuan dalam usaha menyelesaikan isu sempadan yang telah lama wujud dan memberi impak kepada pembangunan serta pengurusan kawasan sempadan kedua-dua negara.
Sumber: Kompas.com