Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Tragedi Tanah Runtuh Runtun Hati, Tiga Beranak Ditemui Tidak Bernyawa dalam Keadaan Berpelukan

tragedi tanah runtuh ragut nyawa, tiga beranak ditemui tidak bernyawa dalam keadaan berpelukanFoto: Agensi

Satu kejadian menyentuh perasaan dilaporkan dalam tragedi tanah runtuh di Cisarua, Bandung Barat apabila tiga ahli keluarga ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berpelukan di dalam rumah mereka yang tertimbus.

Advertisement

Berdasarkan laporan media tempatan Indonesia, Detik News, mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, isterinya dan anak mereka ditemukan pada Ahad hasil operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di kawasan terjejas.

Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Hendra Rochmawan mengesahkan ketiga-tiga mangsa disahkan maut selepas berjaya dikeluarkan dari runtuhan.

“Sebuah keluarga di kawasan ini melaporkan sembilan ahli mereka tertimbus. Ketika pencarian dilakukan, kami menemukan tiga sekeluarga ini dalam keadaan saling berpelukan sebelum dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Agensi Mitigasi Bencana Negara Indonesia memaklumkan angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Dusun Pasir Kuning dan Pasir Kuda, Kampung Pasirlangu terus meningkat kepada 17 orang.

Daripada jumlah tersebut, 11 mangsa telah dikenal pasti identiti mereka manakala enam lagi masih menjalani proses pengecaman oleh Pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana.

“Setakat ini, pasukan DVI telah berjaya mengenal pasti 11 mayat, sementara enam lagi masih dalam proses,” kata Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari.

Difahamkan, kejadian tanah runtuh itu berlaku pada awal pagi Sabtu ketika kebanyakan penduduk sedang lena, menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan diri.

Menurut Ketua Kampung Pasirlangu, Nur Awaludin Lubis, hujan lebat disertai angin kencang telah melanda kawasan tersebut selama dua hari berturut-turut sebelum insiden berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Cisarua, Ay Yogaswara berkata, penduduk memaklumkan kejadian bermula dengan bunyi dentuman kuat sebelum aliran tanah dan lumpur bergerak dari Kampung Pasir Kuning menuju ke Kampung Pasir Kuda.

Akibat kejadian tersebut, puluhan kediaman penduduk dilaporkan tertimbus oleh runtuhan tanah dan lumpur, sekali gus mengakibatkan kerosakan besar di kawasan terlibat, menurut laporan BBC News Indonesia.

Sumber: Detik.news

SINAR Muzik Retro Terbaik