Foto: Facebook
Hari ini genap 31 tahun sejak Aishwarya Rai dimahkotakan sebagai Miss World 1994, salah satu kemenangan paling ikonik dalam sejarah pertandingan ratu cantik dunia. Miss World sendiri merupakan pertandingan ratu cantik antarabangsa tertua yang masih berlangsung sehingga kini, bermula di United Kingdom pada tahun 1951.
Advertisement
Bersama Miss Universe, Miss International dan Miss Earth, ia tergolong dalam kumpulan pertandingan terbesar dunia dikenali sebagai Big Four.
Edisi Miss World ke-44 itu berlangsung pada 19 November 1994 di Sun City, Afrika Selatan — tahun ketiga berturut-turut acara berprestij itu diadakan di lokasi sama. Seramai 87 peserta menyertai pertandingan tersebut, termasuk wakil Malaysia, Rahima Orchient Yayah.
Aishwarya Rai, ketika itu berusia 21 tahun dan berasal dari Mumbai, tampil menyerlah sejak awal lagi. Dibesarkan dalam keluarga yang menghargai seni, Aishwarya pernah dilatih dalam tarian dan muzik klasik India. Pada asalnya, beliau bercita-cita menjadi arkitek dan menuntut di Rachana Sansad Academy of Architecture, Mumbai.
Namun, perjalanan hidupnya berubah selepas memenangi pertandingan supermodel anjuran Ford Modeling Agency yang membawanya ke halaman majalah Vogue Amerika Syarikat. Popularitinya meningkat mendadak apabila membintangi iklan Pepsi bersama Aamir Khan dan Mahima Chaudhry yang kemudian melonjakkan namanya dalam bidang peragaan.
Pada tahun 1994, Aishwarya menyertai Miss India dan muncul naib juara di belakang Sushmita Sen, tetapi kemenangan itu tetap manis apabila beliau merangkul lima sub-gelaran seperti Miss Catwalk, Miss Miraculous, Miss Photogenic, Miss Perfect Ten dan Miss Popular. Sushmita berangkat ke Miss Universe, manakala Aishwarya mewakili India ke Miss World.
Di Sun City, Aishwarya bukan sahaja memenangi mahkota Miss World 1994 menggantikan Lina Hanna dari Jamaica, tetapi turut memenangi gelaran Miss Photogenic dan Continental Queen of Beauty – Asia and Oceania.
Selepas setahun menjalankan tanggungjawab sebagai Miss World, Aishwarya meninggalkan pengajiannya dan kembali ke dunia peragaan sebelum menceburkan diri dalam industri lakonan. Debutnya ialah dalam filem Tamil Iruvar pada 1997, diikuti filem Hindi pertamanya …Aur Pyaar Ho Gaya pada tahun sama. Namun, watak Paro dalam filem epik Devdas (2002) benar-benar melambungkan namanya sebagai ‘Ratu Bollywood’ generasi baharu.
Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kemenangan Aishwarya Rai pada 1994 kekal sebagai salah satu detik paling berpengaruh dalam sejarah Miss World.
Sumber: Britannica, Miss World