Seorang wanita maut selepas ditetak oleh rakan anaknya sendiri kerana sakit hati diejek mandul dan tidak mempunyai anak.
Kejadian tragis ini berlaku di Desa Ketegan, Kecamatan Taman, Sidoarjo, Jawa Timur pada Selasa lalu.
Advertisement
Mangsa iaitu Sri Budi Hartini, 59, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang senjata tajam oleh suspek, Teguh Hadi Joko Santoso, 46, yang juga dikenali sebagai Daok.
Memetik laporan agensi, Ketua Polis Daerah Sidoarjo, Kombes Pol Christian Tobing berkata, suspek bertindak di luar kawalan akibat rasa sakit hati dan cemburu.
"Suspek tersinggung selepas dihina oleh anak mangsa yang mengejeknya sebagai mandul dan tidak boleh memiliki anak.
"Selain itu, dia juga cemburu kerana anak mangsa sering berinteraksi dengan isterinya," katanya kepada wartawan pada Rabu.

Foto: Agensi
Difahamkan, suspek pada awalnya datang ke rumah mangsa untuk mencari anaknya. Bagaimanapun, apabila dia tidak menemui remaja itu, suspek melepaskan kemarahannya terhadap ibu remaja tersebut dengan menetaknya menggunakan golok.
Selepas kejadian, suspek cuba melarikan diri, namun pihak polis berjaya menahannya kurang daripada 24 jam selepas insiden berlaku.
Dalam pada itu, polis turut merampas golok yang digunakan sebagai senjata utama dalam serangan tersebut.
Untuk makluman, suspek kini ditahan di lokap Polis Daerah Sidoarjo untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, kes ini sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang Indonesia, dan pihak berkuasa berjanji akan memastikan keadilan diberikan kepada mangsa serta keluarganya.
Sumber: Agensi