Foto: FB Anuar Ibrahim
Dua tandas yang rosak di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jaafar, Kamunting, Perak telah dibaiki selepas seorang murid mengemukakan aduan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika lawatan ke bazar Ramadan pada Jumaat minggu lalu.
Advertisement
Setiausaha Politik Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim, mengesahkan bahawa masalah tersebut telah diselesaikan dalam tempoh dua hari selepas aduan diterima.
"Saya telah menerima maklumat terkini mengenai aduan yang dikemukakan terus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu tandas di SK Long Jaafar semasa lawatan ke bazar Ramadan Kamunting. Kerja-kerja pembaikan kini telah selesai," katanya melalui ciapan di X.
Foto: Tangkap layar video
Dalam pada itu, Muhammad Kamil juga menambah bahawa Anwar sentiasa mengingatkan semua kakitangan kerajaan Madani untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat dan mengambil tindakan pantas terhadap sebarang kebimbangan.
Sebelum ini, tindakan spontan seorang kanak-kanak lelaki yang membuat aduan mengenai keadaan tandas sekolahnya di hadapan Anwar ketika bazar Ramadan itu telah menarik perhatian ramai. Kanak-kanak tersebut melaporkan bahawa dua tandas di sekolahnya rosak dan tidak dapat digunakan.
Sumber: X Kamil Munim